Khamis, 17 Disember 2009

Shahidan tawar elaun, pencen untuk masjid

BERNAMA


Bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim menawarkan pencen dan elaun wakil rakyat beliau untuk melaksanakan program ehya masjid di seluruh negeri itu.

Beliau, yang juga ADUN Tambun Tulang, membuat tawaran tersebut semasa menyertai perbahasan menyokong usul anggaran belanjawan Perlis 2010 pada sidang DUN Perlis semalam.

Shahidan berkata tawarannya itu adalah ikhlas untuk memastikan program berkenaan yang pernah diperkenalkan semasa beliau menjadi menteri besar dahulu dapat dihidupkan semula kerana ia memberi impak yang baik kepada umat Islam.

Katanya, beliau menawarkan pencen dan elaunnya setelah mendapat tahu bahawa kerajaan negeri tidak dapat mengadakan program itu kerana masalah kewangan.

Shahidan berkata tawarannya itu bagi membolehkan kerajaan negeri menggunakan wang tersebut untuk membayar kepada penceramah dan perbelanjaan-perbelanjaan lain.

Memandangkan kekurangan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan negeri, beliau mencadangkan supaya kerajaan negeri mewujudkan Amanah Saham Perlis bagi membolehkan kerajaan negeri menjual saham untuk menampung kewangannya.

Sementara itu, Khairi Hasan (BN-Mata Ayer) ketika mengambil bahagian dalam perbahasan itu berharap kerajaan negeri menarik lebih banyak pelabur ke negeri ini yang akan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Hashim Jasin (PAS-Sanglang) pula mahu kerajaan negeri memudahkan pemberian tauliah kepada para penceramah agama selagi mereka tidak melakukan penyelewengan agama.

Tiada ulasan: