Khamis, 3 Disember 2009

Segerakan wang ihsan banjir

UTUSAN ONLINE


KUCHING – Kerajaan akan menyegerakan proses pemberian wang ihsan kepada mangsa banjir tanpa perlu menunggu senarai penuh nama dari pejabat-pejabat daerah sebagaimana diamalkan selama ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, langkah tersebut bertujuan mengelakkan pemberian bantuan kepada mereka yang tidak layak.

‘‘Kalau dulu, kita tunggu senarai nama mangsa dari Pejabat Daerah, namun ia mengambil masa yang lama untuk dikenal pasti dan disahkan hingga ada pihak tidak layak, mendapat bantuan itu sekali gus menimbulkan kemarahan mangsa banjir.

‘‘Tetapi sekarang ini, selepas kita kenal pasti mangsa, kita akan terus berikan duit itu tanpa menunggu senarai penuh siap,’’ katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan 20 bot penyelamat Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk Sarawak di sini hari ini.

Bot penyelamat bernilai RM54,840 sebuah itu akan dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) di setiap bahagian di Sarawak untuk diguna dan diselenggara.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri memberitahu, setiap jawatankuasa bencana kerajaan negeri diminta menyenaraikan peralatan yang diperlukan sebagai persediaan untuk menghadapi bencana banjir.

Ujarnya, kerajaan akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan untuk tujuan tersebut yang akan disalurkan kepada kerajaan negeri masing-masing.

Katanya, kerajaan juga bersedia untuk menghantar kira-kira 50 hingga 100 tandas bergerak kepada negeri-negeri yang terlibat dengan bencana banjir.

Tiada ulasan: