Sabtu, 19 Disember 2009

Saya tidak akan letak jawatan: Chew

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun, hari ini menegaskan bahawa beliau tidak akan meletakkan jawatannya dalam jawatankuasa pusat (CC) parti.

Katanya, ia kerana beliau percaya jika beliau bertindak demikian, ia tidak akan memberi sebarang kesan terhadap pemilihan semula yang sedang dirancang oleh beberapa pemimpin MCA.

Malah, katanya, beliau juga tidak percaya bahawa penangguhan pemilihan semula MCA adalah disebabkan oleh tindakannya ataupun tindakan Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong yang enggan meletak jawatan.

"Peletakan jawatan saya tidak akan mempercepatkan pemilihan baru dalam parti MCA. Saya tidak akan letak jawatan, sebab saya bukan dipilih sebagai ahli CC, malah saya secara automatik menjadi ahli CC sejurus selepas menjawat jawatan Ketua Wanita MCA," katanya di sini, hari ini.

Sehingga kini, 13 ahli CC sudah menyerahkan surat peletakan jawatan dalam jawatankuasa itu tanpa bertarikh kepada Setiausaha Agung MCA, Datuk Wong Foon Meng; antaranya Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Wee Jeck Seng, dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr Hou Kok Chung.

Tindakan meletakkan jawatan itu bertujuan membolehkan pemilihan semula parti diadakan dalam usaha menyelesaikan kemelut kepimpinan dalam parti berkenaan, namun ia memerlukan peletakan jawatan dua pertiga ahli CC atau 21 orang bagi membolehkan satu pemilihan semula diadakan.

Chew berkata, tindakannya itu hanya sekadar mematuhi apa yang terkandung dalam perlembagaan parti, demi kebaikan MCA.

Sehubungan itu, beliau menasihati ahli MCA supaya menggunakan kuasa yang ada dengan bijaksana dan bukannya secara membuta-tuli.

Tiada ulasan: