Sabtu, 5 Disember 2009

Penentuan subsidi gula Mei 2010

Daripada NOR AZIAH JAAFAR


DUBAI – Keputusan sama ada pemberian subsidi gula akan diteruskan atau ditarik balik hanya akan ditentukan oleh Kabinet pada Mei tahun depan selepas meneliti pandangan dari semua pihak yang terlibat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak kementerian kini sedang mengumpul pandangan dan maklumat berhubung perkara itu termasuk dari pihak persatuan pengguna dan industri makanan untuk dibentangkan di Kabinet pada Januari tahun depan.

Menurutnya, berdasarkan maklumat berkenaan, Kabinet akan melihat kepada tiga kemungkinan iaitu memberi subsidi gula kepada kumpulan sasaran sahaja, mengurangkan jumlah subsidi atau menghapuskannya.

‘‘Setakat ini hanya Malaysia merupakan negara di dunia yang memberi subsidi gula kepada rakyatnya.

‘‘Dari segi polisi, kerajaan hanya memberi subsidi untuk makanan asas sahaja dan gula tidak termasuk dalam kategori itu. Kita hanya memberi subsidi gula untuk mengurangkan beban rakyat,” katanya di sini hari ini.

Ismail Sabri berada di sini dalam rangka mempromosikan barangan keluaran Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta melancarkan program Taste of Malaysia yang dijadualkan esok.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini telah mengarahkan supaya pemberian semua subsidi barangan termasuk gula diteliti semula kerana tidak semua sampai kepada golongan sasaran.

Beliau memberitahu, pada tahun ini kerajaan mengeluarkan RM720 juta untuk subsidi gula dan berdasarkan harga gula mentah semasa, jumlah subsidi dijangka meningkat kepada RM1 bilion tahun depan.

‘‘Dalam tempoh penelitian semula ini subsidi tidak akan ditarik balik.

Pada ketika ini pihak kementerian tidak pernah memberi cadangan kepada kerajaan supaya menarik semula pemberian subsidi gula,” jelasnya.

Menurutnya, kenyataan berhubung subsidi gula yang dikeluarkannya sebelum ini hanya sebagai tindak balas dari cadangan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) supaya kerajaan menarik balik subsidi gula untuk mengurangkan pengambilan bahan itu di kalangan rakyat bagi menghindari penyakit kencing manis.

Katanya, rakyat sepatutnya memberi perhatian kepada kempen pengurangan pengambilan gula yang dijalankan oleh CAP daripada terlalu memberi perhatian kepada harga bahan itu di pasaran.

Tiada ulasan: