Selasa, 22 Disember 2009

Pemimpin kanan Pemuda PAS letak jawatan

Jimadie Shah Othman


Ketua penerangan Pemuda PAS Kelantan - yang tegas mendesak pengunduran segera menantu Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai peneraju Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) - telah meletakkan semua jawatannya dalam parti hari ini.

Bagaimanapun, Dr Rosli Allani Abd Kader meletak jawatan bukan kerana kegagalan Pemuda PAS negeri mengadakan mesyuarat berhubung peletakan jawatan ketua pegawai eksekutif PMBK, Abdul Ariffahmi Ab Rahman.

Sebaliknya, kata beliau, ia berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu - yang memerintahkannya tinggal berasingan dengan isteri keduanya - bagi mengelak menjejaskan imej PAS.

Dr Rosli mengumumkan peletakannya itu dalam satu sidang akhbar di sebuah hotel di Kota Bharu tengahari ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini, beliau mengesahkan peletakan jawatan itu dan sebab beliau meletakkan jawatan.

Beliau mendapat perintah mufarakah (berpisah sementara) dengan isterinya Ilyana Mohd Noor kerana perkahwinannya pada Disember tahun lalu diragui oleh bapa mertuanya.

Tiada ulasan: