BERNAMA
Saksi kedua dalam kes khalwat pelakon Norman Hakim dan Memey memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur bahawa pasangan itu disyaki berkhalwat selepas dompet milik Norman berada di tingkat bawah, di mana Memey ditemui.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Gombak Barat, Kyairool Nizam Khairuddin, 25, berkata Norman berada di dalam setor dan memberitahunya bahawa dompetnya berada di tingkat bawah ketika diminta menunjukkan kad pengenalannya.
Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan peguam bela, Fakhrul Azman Abu Hassan, walaupun dompet Norman dikatakan berada di tingkat bawah, keadaan itu tidak menunjukkan pasangan itu berkhalwat.
Kyairool Nizam turut mengakui bahawa ketiadaan kad pengenalan ketika Norman ditahan di tingkat atas tidak boleh dijadikan bukti pasangan itu berkahlwat.
Dia turut bersetuju beliau tidak pernah membawa sebarang bahan bukti untuk mengukuhkan pertuduhan khalwat berkenaan.
"Saya bersetuju bahawa kedua-dua tertuduh ketika ditemui bukan berada dalam keadaan menimbulkan syak kerana mereka tidak ditemui bersama-sama di suatu tempat dan tidak mengemukakan sebarang bukti," katanya.
Kyairool Nizam, memberi keterangan dalam perbicaraan kes khalwat aktor Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dengan Suhaiza Suhaimi, 21 atau Memey di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2 Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, pada 3 pagi, 30 Okt 2008.
Norman didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 manakala Memey didakwa mengikut Seksyen 29(1)(b) enakmen yang sama.
Disoal mengapa laporan polis yang dibuat tidak menyatakan alamat kedua-dua premis tetapi hanya menjelaskan alamat tingkat bawah, Fakhrul Azman berkata apa yang diperkatakan dalam laporannya itu kurang tepat.
"Laporan polis yang saya buat tidak lengkap berikutan tidak nyatakan bukti terperinci tentang kejadian tetapi saya tahu mereka memang berkhalwat berdasarkan panggilan telefon yang diterima ketuanya," katanya.
Fakhrul Azman menempelak Kyairool Nizam yang juga ditugaskan sebagai pelukis lakaran di tempat kejadian, kerana gagal mencatitkan masa dan tarikh kejadian kerana Kyairool tidak memakai jam tangan, tetapi hanya berpandukan maklumat kawan-kawannya di tempat kejadian.
"Macam mana awak nak pastikan masa ketika kejadian sedangkan awak sendiri tidak memakai jam dan sekarang awak menyatakan melihat jam dinding di premis itu tetapi tidak mengingati tingkat berapa pula," kata Fakhrul Azman.
Bagaimanapun, Kyairool Nizam bersetuju dengan cadangan Fakhrul Azman bahawa beliau sendiri tidak pasti waktu kejadian itu sama seperti mana dalam kertas pertuduhan kerana tiada jam tangan.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Syarie, Muhamad Nazri Basrawi.
Perbicaraan dihadapan Hakim Syarie Salehuddin Yatim disambung pada 15 Jan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan