Rabu, 23 Disember 2009

Najib Umum Model Ekonomi Baru Akhir Februari 2010

BERNAMA


PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan model ekonomi baharu pada akhir bulan Februari tahun depan.

Katanya, model ekonomi baharu itu akan menjadi landasan serta hala tuju baharu kepada perjalanan ekonomi negara pada masa hadapan.

"Model itu merupakan model yang komprehensif kerana ia bukan sahajamenyentuh tentang ekonomi tetapi merangkumi segala aspek peranan sesebuah negara.

"Saya akan membentangkannya pada bulan Februari tahun depan setelah mendapatkelulusan daripada Jemaah Menteri," kata Najib pada majlis Malam Bersama Media Kementerian Kewangan di sini semalam.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Najib berkata, beliau telah diberi taklimat pada hari ini oleh ahli Majlis Penasihat Ekonomi mengenai kerangka model ekonomi baharu itu.

"Saya telah memberi persetujuan pada prinsipnya kepada kerangka model ekonomi baharu itu. Saya juga ingin memaklumkan bahawa huraian atau naratifnya akan disediakan selepas ini dan dijangka mengambil masa sebulan untuk disiapkan.

"Apabila disiapkan, ia akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan dan seterusnya mengikut perancangan, model ekonomi baharu negara akan diumumkan pada akhir bulan Februari nanti," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, tiga bidang utama iaitu Bajet 2010, program transformasi kerajaan dan model ekonomi baharu akan menjadi keutamaan kerajaan dalam memperjuangkan agenda ekonomi negara untuk masa depan yang lebih baik, lebih terjamin dan lebih hebat lagi.

Tiada ulasan: