Oleh ARIFFUDDIN ISHAK
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan yang bersidang di sini hari ini, akan menetapkan satu tarikh kemudian bagi memutuskan rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan pemecatannya dari jawatan Kabinet pada 1998.
Perkara tersebut diputuskan selepas panel tiga hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff mendengar hujahan kedua-dua pihak hari ini.
Barisan peguam Anwar diketuai oleh Karpal Singh dan pihak kerajaan diketuai Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md Said.
Anwar merujuk perkara itu ke mahkamah tertinggi tersebut selepas gagaldi Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September, 1998 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah sah.
Mahkamah Persekutuan akan menentukan dua persoalan undang-undang iaitu sama ada pemecatan Anwar tidak mengikut Perlembagaan dan sama ada Dr Mahathir boleh memecat timbalannya tanpa terlebih dulu menasihatkan Yang di-Pertuan Agong.
Dalam hujahan Karpal hari ini, beliau menegaskan Artikel 43(5) Perlembagaan Persekutuan secara khusus menghendaki Yang di-Pertuan Agong adalah kuasa yang membatalkan pelantikan Anwar dalam Kabinet Malaysia berdasarkan prinsip bahawa hanya pihak yang berkuasa melantik mempunyai hak membatalkan pelantikan.
"Jelas sekali Yang di-Pertuan Agong yang melantik seseorang menteri, jadi apabila Agong yang mempunyai kuasa untuk melantik, maka Agong juga yang mempunyai kuasa untuk membatalkannya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan