Rabu, 9 Disember 2009

Lim Swee Kuan setiausaha politik baru Ean

Harakahdaily


SHAH ALAM: Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan perlantikan Lim Swee Kuan sebagai setiausaha politik barunya berkuat kuasa hari ini.

Lim Swee Kuan adalah bekas Pegawai Khas kepada Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang yang dilantik selepas tsunami politik pada Pilihan Raya Umum Mac tahun lalu.

Beliau juga pernah bertugas sebagai penolong penyunting berita bagi suratkhabar parti DAP ‘Roket’ dan Setiausaha Akhbar kepada Setiausaha Agung DAP YAB Lim Guan Eng.

"Saya mengalu-alukan Lim Swee Kuan menyertai anggota Kerajaan Selangor, dan saya berharap bahawa beliau dapat berusaha sedaya-upaya untuk memperkukuhkan dasar dan prestasi Kerajaan Selangor, serta berkhidmat untuk masyarakat," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor.

"Saya percaya, dengan pengalaman pekerjaan selama 3 tahun di Ibu Pejabat DAP, beliau dapat menyesuaikan diri dalam suasana tempat pekerjaan yang baru secepat mungkin, dan membantu saya dalam urusan-urusan politik dan penyelarasan media, serta menangani permohonan dana/sumbangan kerajaan."

Beliau kini merupakan Setiausaha Publisiti Pemuda DAP (DAPSY) Selangor, Naib Pengerusi DAPSY Petaling Jaya Utara dan juga Naib Pengerusi DAP Cawangan SS2, Petaling Jaya.

Perlantikan Lim Swee Kuan bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut akibat kematian penyandangnya sebelum ini, Teoh Beng Hock.

Beng Hock, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di sini pada 16 Julai lalu, beberapa jam selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Prosiding inkues bagi menyiasat kematian bekas setiausaha politik exco Selangor itu sedang berjalan.

Kes tersebut akan didengar di Mahkamah Majistret Shah Alam ke 17 Disember ini selepas ditangguhkan dari tarikh semalam.

Tiada ulasan: