Selasa, 8 Disember 2009

Kebocoran Paip Air Projek Terbengkalai, Punca Tragedi Bukit Antarabangsa

TV SELANGOR

Laporan Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa mendedahkan tragedi yang meragut lima nyawa dan memusnahkan 14 buah rumah itu berpunca daripada kebocoran paip air.

Saluran paip yang bocor itu terletak sepanjang jajaran rumah terbengkalai di Taman Bukit Mewah yang menyaksikan kemusnahan paling teruk dalam kejadian 6 Disember tahun lalu.

Berdasarkan laporan ini, TV Selangor difahamkan berlakunya tiga siri gelinciran tanah setiap 3 hingga 5 minit.

Hasilnya mengakibatkan keruntuhan tanah seluas 4 hektar, dan meragut lima nyawa selain memusnahkan 14 buah rumah.

Laporan tersebut adalah hasil siasatan yang dijalankan jawatankuasa khas yang ditubuhkan diketuai oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun Malaysia Jabatan Kerja Raya (JKR-CKC).

Dalam laporan berkenaan, JKR mencadangkan agar sistem perparitan dalam tanah ditanam di kawasan resapan air dengan kadar kemendapan yang tinggi.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Norziatulshima Tajjudin berkata, 50 naskah laporan berkenaan yang disediakan pihaknya habis dijual sebaik sahaja kaunter dibuka jam 8 pagi tadi.

Sehubungan itu, Norziatulshima menyarankan agar pihak yang ingin mendapatkan laporan tersebut membuat tempahan dengan MPAJ dan ianya akan diedarkan pada minggu hadapan.

"Next penjualan tu kita tengok mungkin dalam minggu depan. Kita tengok setakat ni baru 4 orang.

"Selalunya bergantung pada permintaan sebab kita pun tak tahukan berapa ramai yang nak. Lebih senang kalu dia buat tempahan,"katanya.

Antara pembeli laporan tersebut terdiri daripada pemaju hartanah dan individu.

Tiada ulasan: