Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI
PETALING JAYA: Peguam Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Kamar Ainiah Kamaruzzaman hari ini mengesahkan semakan semula permohonan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk membicarakan kes Dr. Asri di mahkamah tinggi akan didengar pada khamis ini.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata pihaknya akan mengemukakan bantahan bagi permohonan berkenaan.
"Khamis ini kami akan usulkan bantahan permohonan membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi," katanya kepada mStar Online.
Beliau turut menjelaskan Mohd Asri sudah mengetahui perkara ini dan bersedia menghadapi tuntutan itu.
Namun beliau enggan mengulas lanjut strategi yang bakal digunakan bagi menentang permohonan itu.
"Kita tunggu saja pada hari berkenaan," katanya ringkas.
Namun ketika ditanya mengenai motif pihak JAIS ingin membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi, Kamar Arniah berkata beliau sendiri tidak faham mengenainya.
"Saya kesal kerana seolah-olah hakim Mahkamah Rendah Syariah tidak layak untuk membicarakan kes ini," katanya.
Kamar Arniah juga tidak menolak kemungkinan wujudnya agenda pihak tertentu untuk membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi kerana populariti Mohd Asri sebagai bekas Mufti Perlis.
Pada 1 November lalu, Mohd Asri telah ditahan oleh pihak JAIS di Taman Sri Ukay Ampang atas tuduhan mengajar agama tanpa tauliah daripada JAIS.
Beliau dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di bawah seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 pada 18 November lalu.
Walaubagaimanapun Mohd Asri tidak mengaku bersalah atas tuduhan tersebut dan kes akan dibicarakan pada 5 Januari depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan