Selasa, 1 Disember 2009

Himpunan depan SUK, Pemuda PAS Kelantan lapor Polis

Rizal Tahir


KOTA BHARU : Satu laporan polis telah dibuat Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) malam tadi di balai polis Kota Bahru berikutan khabar angin yang mengatakan satu perhimpunan akan diadakan di depan bangunan Sekriteriat Kerajaan Negeri SUK, Kota Darul Naim pagi ini.

Khabar angin yang disebar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) bermula semalam itu mendakwa perhimpunan tersebut akan di adakan jam 10 pagi ini.

Bendahari DPPNK, Wan Azimin Wan Adnan, ditemani oleh beberapa orang peguam, dilihat memasuki balai polis Kota Bahru, jam 10.30 malam tadi.

Dalam kenyataan media selepas itu, Naib Ketua Pemuda DPPNK, Hisam Fauzi memberitahu, pihak mereka mendapat tahu perhimpunan berkenaan dianjurkan oleh satu kumpulan yang dikenali sebagai Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan.

“Saya tidak pasti sama ada kumpulan ini berdaftar atau tidak, tetapi kami dimaklumkan bahawa himpunan haram ini dianjurkan oleh satu kumpulan yang dikenali sebagai Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan,” ujarnya.

“Oleh itu, DPPNK mengesa pihak polis supaya mengambil tindakan pencegahan bagi mengelak perhimpunan ini,” ujarnya lagi.

Hisam menambah, usaha mengadakan himpunan ini adalah bertujuan politik bagi mengangu gugat kestabilan politik negeri ini dan pentadbiran Menteri Besar.

Tambahnya lagi, DPPNK kesal dengan beberap tindakan sejak kebelakangan ini yang menyerang Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang cuba memberi imej yang buruk kepada beliau.

DPPNK juga menyatakan sokongan yang teguh kepada Menteri Besar dan memberi sokongan yang penuh ke atas pentadbiranya.

Tiada ulasan: