Selasa, 22 Disember 2009

Dakwat tanda jari untuk PRU12 sudah dilupuskan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Dakwat kekal yang dibeli untuk kegunaan pilihan raya umum ke-12 lalu telah dilupuskan mengikut prosedur yang ditetapkan Peraturan Kerajaan iaitu melalui proses pembakaran.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata dakwat yang tidak dapat digunakan kerana masalah keselamatan dan perundangan itu telah dilupus pada 25 November lalu.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mengenai keputusan yang dibuat terhadap dakwat kekal yang telah dibeli dan kemudian mahu dijual semula sehingga tarikh luputnya sudah berlalu.

Ketika menjawab soalan lain mengenai tindakan yang diambil terhadap inkues yang belum dijalankan atau tertangguh, Liew berkata kes inkues berkenaan kebanyakannya disebabkan masalah saksi tidak dapat hadir perbicaraan ataupun saksi tidak dapat dikesan.

"Tiada tindakan spesifik yang dilakukan untuk mempercepatkan kes inkues melainkan mengeluarkan waran tangkap terhadap saksi yang gagal hadir ke mahkamah walaupun telah disapina," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Tunku Abdul Aziz di Dewan Negara di sini hari ini.

Tiada ulasan: