Sabtu, 19 Disember 2009

Buku Laksa, Nasi Lemak, Bak Kut Teh Bakal Terbit Tahun Depan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Sebuah buku yang menyenaraikan 50 kedai yang menghidangkan laksa, nasi lemak dan bak kut teh paling lazat di negara ini akan diterbitkan pada tahun depan sebagai panduan untuk rujukan para penggemar makanan itu.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata, tiga makanan itu menjadi pilihan kementerian berkenaan untuk dimuatkan dalam buku berjudul 'Malaysia Best Taste Series' bagi mempromosikan keistimewaan dan keenakan makanan Malaysia kepada rakyat tempatan dan asing.

"Kami mengambil langkah ini bagi mengumpul data tentang makanan tempatan dalam usaha menyediakan senarai tempat terbaik yang menghidangkan sesuatu makanan.

"Kami akan mulakan dengan tiga makanan ini (laksa, nasi lemak dan bak kut teh) sebelum meliputi makanan lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Makanan 1Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Dr Ng berkata, 50 kedai terbaik yang menyajikan setiap makanan itu akan dipilih berdasarkan maklum balas orang ramai melalui laman web www.fabfood1malaysia.com.

Katanya, kaji selidik itu akan berakhir pada 30 Januari dan buku berkenaan dijangka diterbitkan menjelang suku ketiga tahun depan.

Menurut Dr Ng, setakat semalam, kira-kira 18,000 orang dari 70 negara telah melayari laman web itu serta memberi maklum balas masing-masing sejak kaji selidik berkenaan dilancarkan pada 3 Dis.

"Setelah tempoh kaji selidik ini berakhir, hakim kami akan memilih kedai yang menang berdasarkan enam kriteria iaitu rasa, inovasi, kebersihan, harga, sikap pengendali dan suasana sesebuah tempat makan berkenaan.

"Pemenang akan menerima plak daripada kementerian ini. Bagaimanapun, senarai ini akan disemak semula setiap tahun bagi memastikan pengusahanya mengekalkan ketinggian standard masing-masing," katanya.

Beliau berkata, kementerian itu dengan kerjasama pengusaha perniagaan makanan, akan mewujudkan satu pakej serta mempromosikan acara berkenaan secara lebih hebat tahun depan.

"Saya nampak acara ini berpotensi untuk berkembang dan berharap kami dapat mempakejkan semula serta mempromosikannya di peringkat antarabangsa pada tahun depan," katanya.

Tiada ulasan: