Jumaat, 18 Disember 2009

Azizul turut ke tali gantung

Oleh Siti Nurazlinee Azmi


KUALA LUMPUR: Selepas dua tertuduh disabitkan bersalah atas tuduhan membunuh pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Bakarudin Busu dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, tertuduh ketiga kes itu juga menerima nasib sama di sini, semalam.

Hakim Datuk Muhamad Ideres Muhamad Rapee membuat keputusan itu terhadap Azizul Azual Mohamad Jailani (kanan), 26, selepas meneliti laporan akhlak tertuduh yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berikutan ketika kejadian dia berusia 18 tahun.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan selesai.

Pada 13 November lalu, dua lagi tertuduh Sulkarnain Alias, 32, dan Noorman Ab Wahab, 31, menerima hukuman yang sama, tetapi mahkamah menangguhkan keputusan ke atas Azizul Azual bagi membolehkan mahkamah meneliti laporan akhlaknya.

Ketiga-tiga tertuduh dituduh membunuh Bakarudin yang ketika kejadian berusia 35 tahun di Jalan SS19/6 Subang Jaya, jam 9.30 malam, pada 12 Februari 2002.

Ketika keputusan dibacakan, Azizul Azual hanya tunduk memandang lantai dan sesekali menoleh ke arah ibunya, Mariam Maulud, 60, yang duduk berhampiran kandang tertuduh.

Mariam hanya mampu menitiskan air mata, malah turut dipapah oleh anggota keluarga lain sebaik prosiding selesai.

Muhamad Ideres dalam penghakimannya berkata, walaupun umur tertuduh masih muda ketika melakukan kesalahan itu, tetapi mahkamah mengambil kira semua aspek sebelum menjatuhkan hukuman.

Terdahulu, pegawai JKM, Mohamad Fazli Abdul Rahman berkata, Azizul Azual ketika kejadian baru mencecah usia 18 tahun dua bulan dan lima hari yang mana pada usia remaja seseorang itu mudah terpengaruh dengan rakan sebaya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nordin Ismail yang memanggil 30 saksi.

Tiada ulasan: