SINAR HARIAN ONLINE
KOTA BHARU - Menantu Menteri Besar Kelantan, Abdul Ariffahmi Ab Rahman secara rasmi meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) berkuatkuasa 23 Mac 2010, 90 hari selepas beliau menghantar notis.
Beliau berkata, tindakan itu diambil kerana patuh dengan nasihat pucuk pimpinan Pas dan akur dengan arahan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 23 November lalu yang mahu beliau meletak jawatan sebagai CEO perbadanan tersebut.
Menurutnya, perkara itu diputuskan setelah mengambil kira masa yang perlu diambil oleh bapa mertuanya untuk mencari penggantinya untuk menerajui PMBK.
“Setelah membuat perbincangan dengan Tuan Guru dan pengurusan PMBK, saya dengan ini memaklumkan bahawa notis perletakan jawatan pada 24 Disember 2009.
“Merujuk kepada terma-terma dalam surat pelantikan, saya perlu memberi notis 90 hari dan ini bermakna tarikh akhir saya akan berada di pejabat ialah pada 23 Mac 2010,” katanya, semalam.
Dalam masa yang sama katanya, tempoh yang ada ini akan diambil untuk menyiapkan kerja-kerja akhir kepada beberapa perkara yang telah diputuskan oleh Ahli Lembaga Penasihat PMBK sebelum ini.
“Saya mendoakan supaya PMBK akan terus maju ke hadapan dalam semua agenda yang ditetapkan selaras dengan impian tuan guru untuk melihat perbadanan ini dan Kerajaan Negeri beroleh kejayaan,” katanya.
Sebelum ini, Ariffahmi telah diarah oleh Nik Abdul Aziz supaya meletak jawatan sebagai CEO PMBK setelah menerima pandangan Pas Pusat bagi ’menutup segala pintu fitnah’ terhadapnya.
Keputusan itu dicapai ekoran mesyuarat khas Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am parti itu bersama timbalannya, Datuk Dr Haron Din; Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Bendahari Agung, Dr Hatta Ramli.
Isu tersebut timbul setelah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu PMBK dua kali untuk menyiasat dakwaan surat layang berhubung tuduhan kronisme dan salah guna kuasa Ariffahmi ketika menerajui syarikat milik kerajaan (GLC) pada Ogos tahun lepas dan awal bulan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan