BERITA HARIAN ONLINE
GEORGETOWN: Tempoh akhir bagi calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti untuk menarik dari daripada bertanding adalah pada tengah malam ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata tempoh sehingga tengah malam ini selaras dengan peraturan ditetapkan bahawa calon diberi masa selama tiga hari.
Tempoh pengiraan tiga hari itu tidak termasuk hari penamaan calon yang berlangsung Sabtu lalu dan ia bermula dari Ahad sehinggalah tengah malam ini.
"Mana-mana calon yang ingin menarik diri boleh melakukannya sebelum malam ini. Bagaimanapun wang deposit mereka tidak akan dikembalikan kerana sudah melebihi tempoh sepatutnya iaitu pada hari penamaan calon.
"Sehingga kini kami tidak melihat atau menjangkakan ada calon-calon yang berhasrat menarik diri. Semuanya nampak semangat untuk bertanding," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Pilihan raya kecil Penanti 31 Mei ini menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mansor Othman dan tiga calon Bebas iaitu Aminah Abdullah yang juga bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang; bekas Ketua Pemuda Gerakan cawangan Teluk Wang, Nai Khan Ari serta pakar motivasi, Kamarul Ramizu Idris.
Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil itu kerana tidak mahu terperangkap dengan permainan politik pembangkang. Ini kali kedua BN tidak meletakkan calon selepas melakukannya dalam pilihan raya kecil Parlimen Menglembu, Perak pada 1975.
Mengenai kempen yang masuk hari ketiga semalam, beliau berkata, pihaknya berpuas hati dengan proses itu yang berjalan lancar serta teratur tanpa kejadian tidak diingini.
"Saya berharap ia akan dikekalkan sehinggalah pilihan raya ini tamat supaya sasaran SPR untuk mewujudkan budaya pilihan raya bersih yang bermula di Penanti dapat direalisasikan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan