Selasa, 5 Mei 2009

Sultan Selangor semakin sihat

BERNAMA


SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dilaporkan bertambah sihat selepa menjalani pembedahan jantung selama 10 jam di Pusat Perubatan Universiti Stanford di California, Amerika Syarikat, pada Sabtu lalu.

Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani, berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sebelum ini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi sudah dipindahkan ke wad biasa dan sudah boleh makan serta minum.

Baginda akan menjalani rawatan sehingga pulih sepenuhnya dalam jangka masa tiga minggu, katanya di sini hari ini.

Mohamad Munir meminta rakyat Selangor mendoakan agar baginda segera sembuh dan tidak berasa bimbang dengan keadaan kesihatan baginda.

Sultan Sharafuddin Idris Shah berangkat ke California Rabu lalu, diiringi adindanya Tengku Indera Setia Selangor Tengku Ahmad Shah; doktor peribadi baginda, Datuk Dr Anuar Masduki; Datuk Pengelola Bijaya Diraja Selangor Datuk Zakaria Abdul Rahman dan Ahli Dewan Diraja Selangor Tan Sri Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir.

Tiada ulasan: