MYMETRO
PETALING JAYA: Mat Rempit yang sebelum ini bermaharajalela di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) tersentap apabila lokasi yang selalu dijadikan tempat perlumbaan mereka dikepung pihak berkuasa dalam operasi, semalam.
Malah kehadiran pihak berkuasa turut memeranjatkan beberapa individu dipercayai ‘bookie’ perlumbaan yang berada di hentian sebelah berhampiran lokasi berkenaan menyebabkan semua mereka melarikan diri.
Harian Metro difahamkan, pihak polis sudah mengenal pasti beberapa lokasi yang sering dijadikan kumpulan Mat Rempit mengadakan perlumbaan dan perangkap sudah dibuat bagi tujuan mengurangkan kadar jenayah di kalangan mereka khususnya mengikut peruntukan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata selain Petaling Jaya dan Puchong, Kuala Lumpur turut dijadikan lokasi operasi dalam pelancaran ‘perang’ tiga penjuru terhadap Mat Rempit, semalam dan dipecahkan kepada beberapa lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan kumpulan itu.
“Dengan kekuatan anggota termasuk pegawai seramai 89 orang dari IPD, operasi bersepadu kali ini turut membabitkan beberapa agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Bahagian Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).
“Pasukan keselamatan dari konsesi lebuh raya (Plus) turut membantu dalam operasi yang bermula kira-kira jam 1 pagi semalam sebelum berakhir jam 4 pagi,” katanya.
Dalam operasi itu, sejumlah 600 kenderaan yang melalui lebuh raya berkenaan dari arah utara dan selatan diperiksa termasuk beberapa kenderaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan termasuk melakukan modifikasi ke atas kenderaan mereka.
“Daripada angka itu, sejumlah 46 saman dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan dan 17 motosikal disita dengan kesalahan sama termasuk ketiadaan cukai jalan, keadaan kenderaan yang tidak lengkap mahupun diubahsuai,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan