Isnin, 18 Mei 2009

Dada melecur dipanah petir

Oleh Hadzlan Hassan


KUALA TERENGGANU: “Kejadian ini meninggalkan pengalaman buruk dan kini saya masih trauma dan serik untuk menyertai aktiviti mencandat pada masa akan datang,” kata Adnan Dolah, 49, yang cedera teruk akibat dipanah petir ketika mencandat sotong berhampiran muara Seberang Takir, dekat sini, malam kelmarin.

Selain Adnan, kejadian kira-kira lima batu nautika dari muara itu turut menyebabkan dua lagi kakitangan Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya; seorang penduduk tempatan dan seorang remaja cedera.

Mangsa terbabit adalah Zuhaimi Mad Amin, 39, Mohd Syahrunizam Yahya, 25, Shahrulnizam Kamaruddin, 23, dan Shahrinizam Shahar, 17.

Rombongan dari Putrajaya itu tiba di Kuala Terengganu, Jumaat lalu sebelum ke laut melalui Jeti Seberang Takir pada petang kelmarin.

Adnan yang mengalami kecederaan paling serius, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam selepas semua peserta terpaksa menghentikan aktiviti mencandat berikutan hujan lebat dan duduk di rumah bot untuk berbual-bual sementara menunggu hujan berhenti.

“Saya bersama beberapa rakan duduk di belakang bot sebelum tiba-tiba berlaku satu dentuman kuat berserta cahaya putih sehingga memecahkan rumah bot.

“Kejadian itu berlaku dengan pantas dan sebaik sedar saya sudah tersembam di lantai dan dihempap serpihan kayu manakala dada dan tangan saya terasa pedih serta panas seperti melecur terkena air mendidih,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam.

Menurutnya, suasana dalam bot ketika itu kelam-kabut terutama ketika ombak yang tidak berhenti-henti menggoyang bot mereka serta ketiadaan lampu selepas bekalan elektrik dalam bot mereka terputus.

Berikutan itu, Adnan luka ringan di tangan, kepala dan bengkak di bibir akibat dihempap serpihan kayu manakala melecur di dada.

“Selepas keadaan laut reda, kami terus kembali ke darat dan dihantar ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan dan dimasukkan ke wad kerana mengalami kecederaan teruk,” katanya.

Sementara itu, Shahrulnizam yang cedera ringan, berkata ketika disambar petir, dia hampir pitam dan badannya terasa seperti melekat pada besi.

Bagaimanapun, dia lari ke bahagian depan untuk mengelakkan kecederaan lebih parah sebelum menyedari telinganya berdarah.

“Sebelum ini saya sudah beberapa kali datang mencandat di sini dan tidak pernah berlaku kejadian yang tidak diingini, tetapi selepas insiden semalam, saya tak fikir akan turun mencandat lagi,” katanya.

Lima yang turut dirawat ialah Hamidi Ibrahim, 45, Kamat Ibrahim, 30, Rosli Shafie, 39, Miskom Jemari, 30, dan Shahar Abu Bakar, 49.

Bagaimanapun, semua mangsa sudah dibenarkan keluar dan dinasihatkan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di hospital berdekatan tempat tinggal masing-masing.

Mereka adalah 13 peserta yang menyertai rombongan mencandat sotong di negeri ini sebelum dikejutkan bot yang dinaiki terkena panahan petir ketika hujan lebat di tengah laut malam kelmarin.

Tiada ulasan: