Oleh Muzdalifah Mustapha
KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menghapuskan segera monopoli lesen permit import (AP) ayam dan melantik syarikat milik kerajaan (GLC) menerajui industri ternakan ayam negara.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, dengan cara itu, bekalan ayam dijamin mencukupi dan harganya dapat dikawal dengan mengekalkannya pada satu kadar yang sesuai.
Menurutnya, kerajaan perlu menentukan GLC yang layak mengambil alih pengurusan industri itu tanpa melibatkan pihak-pihak lain bagi memastikan isu harga ayam tidak lagi membebankan rakyat.
“Di bawah GLC, harga ayam pasti lebih murah dan dari segi pengurusan serta pengeluarannya lebih terjamin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas cadangan kerajaan untuk menjadikan ayam sebagai bahan kawalan dan AP bagi makanan pilihan rakyat itu diliberalisasikan.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau telah meminta ketua setiausaha kementeriannya menyediakan dua kertas cadangan berhubung perkara itu untuk dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet 13 Mei ini.
Ismail Sabri berkata demikian ekoran keengganan Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (PPPM) menurunkan harga ayam yang naik antara 40 sen dan 60 sen, walaupun didesak oleh pelbagai pihak termasuk kementerian.
Menurut Maamor, kerajaan perlu mencari langkah penyelesaian jangka panjang secepat mungkin dengan mengambil beberapa pendekatan yang lebih efektif bagi mengawal harga ayam.
“Sebelum ini, ayam tidak dijadikan barang kawalan kerana kononnya mahu ia dijual dengan harga yang lebih murah apabila diimport dari negara luar, contohnya, Thailand.
“Namun, langkah kerajaan itu tidak dipersetujui oleh banyak pihak ekoran tidak mahu negara terlalu bergantung kepada pasaran negara luar selain kebersihannya juga diragui,” ujarnya.
Sehubungan itu, jelas beliau, adalah lebih baik jika kerajaan, PPPM dan wakil pengguna berbincang bagi mencari penyelesaian dengan merangka satu pelan jangka panjang.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman mencadangkan supaya pengguna mengurangkan pembelian ayam dan menggantikannya dengan makanan lain.
Menurutnya, dengan cara itu, permintaan ayam akan mula menurun dan pengeluar pasti menurunkan semula harga bahan makanan itu.
“Melalui pemantauan awal FOMCA, pengeluar menaikkan harga ayam berikutan permintaan terhadap barangan itu kini meningkat disebabkan oleh wabak influenza A (H1N1),” kata beliau.
Beliau turut berpendapat kerajaan perlu mencari satu mekanisme yang sesuai bagi mengawal harga ayam selain menjadikannya sebagai barang kawalan mahupun meliberalisasikan AP.
FOMCA jelas beliau, sedang menjalankan pemantauan terhadap pasaran ayam dan hasilnya akan dibentangkan kepada kerajaan tidak lama lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan