Isnin, 18 Mei 2009

Anwar cadang serah kuasa kepada rakyat

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemelut politik yang berlarutan di Perak tidak boleh diselesaikan melalui tindakan perundangan di mahkamah.

Menurutnya, dalam keadaan ini, jalan penyelesaian yang ada ialah menyerahkan kembali kuasa penentu kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang sepatutnya mentadbir negeri tersebut.

“Selesaikan segera kemelut politik perak yang berlarutan sekian lama. Penyelesaiannya bukan di istana atau mahkamah, tetapi mahkamah rakyat yang harus menentukannya," katanya dalam blog rasminya, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi ke atas kemelut politik yang berlaku antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) apabila jawatan menteri besar saling berganti disandang oleh wakil kedua-dua belah pihak.

Menurutnya, perkara tersebut telah disentuhnya semasa menghadiri majlis anjuran DAP yang turut dihadiri penasihat DAP, Lim Kit Siang, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Sehubungan itu, Anwar yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengadakan pilihan raya bagi menyelesaikan konflik yang berlarutan itu.

“Saya cabar Datuk Seri Najib untuk mengadakan pilihan raya di Perak, mengapa takut dan gentar dengan suara rakyat? Selama ini mereka terus memperalatkan media memutarkan fakta mengikut versi mereka,” katanya.

Menurutnya, penyelesaian masalah negara tidak akan tercapai dengan hanya menggantikan slogan tetapi harus mengubah dasar yang tidak membawa kebaikan kepada rakyat.

Katanya, dalam keadaan kini, negara memerlukan pemerintah yang mempunyai dasar menjana kekuatan, memberi hak sama rata serta membela nasib rakyat.

“Hakikatnya majoriti mereka yang miskin dan terpinggir itu terdiri dari kalangan Melayu dan Bumiputera selain Cina dan India. Asas mengembalikan hala tuju negara ini ke landasannya yang tepat ialah dengan berpaksikan semangat Perlembagaan Negara,” katanya.

Tiada ulasan: