Saidah Hairan
KUALA LUMPUR - Keputusan BN tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Dun Penanti membuktikan bahawa Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak akur dengan kejayaan dan sokongan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir Pulau Pinang.
Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, keengganan BN bertanding itu menunjukkan bahawa mereka mengakui bahawa Pakatan Rakyat telah berjaya mentadbir Pulau Pinang dengan baik.
Justeru katanya, BN tidak perlu mengganggu gugat pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat dan seharusnya semua pihak perlu memberikan kerjasama sepenuhnya.
"Adalah wajar tidak ada pertandingan berlaku di Dun Penanti, semua pihak diharap dapat mengurangkan politiking dan marilah bersama-sama kita menjalankan amanah dan mandat yang telah diberikan oleh rakyat," tegasnya.
Beliau berkata, mandat dan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran Pakatan Rakyat telah dapat dilaksanakan dengan baik dan dapat dikecapi oleh rakyat.
"Terutamanya kepada warga Pulau Pinang dalam tempoh setahun setengah pentadbiran perlu dipertingkatkan," jelasnya.
Menurut beliau, sudah sepatutnya parti-parti dari Pakatan Rakyat, terutamanya KeADILan memberikan tumpuan terhadap pentadbiran dan permasalahan rakyat, khususnya warga Penanti.
"Biarlah kewarasan kita diutamakan dengan terus memberikan tumpuan terhadap menangani segala permasalahan rakyat," tegas beliau.
Tambah beliau, jika ditakdirkan salah satu calon bebas tersebut mendapat kemenangan, ianya tidak akan merubah status quo kerajaan Pulau Pinang sekarang. - mns_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan