Isnin, 4 Mei 2009

Ahmad Said: Sejarah Terengganu berulang ?

Suhaimi Al-Maniri


Saya mula mengikuti perkembangan politik Terengganu sebaik sahaja tamat peperiksaan SPM. Ketika itu, awal 1980’an dan era kebangkitan Haji Abdul Hadi Awang baru bermula.

Di Terengganu, pernah muncul beberapa parti berasaskan Melayu seperti Parti Negara pimpinan Dato’ Onn Jaafar pada tahun-tahun 1960’an, kemudiannya Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah pada awal dan pertengahan tahun 1990’an.

Setakat ini politik Terengganu dikuasai oleh dua parti politik sahaja, sama ada UMNO atau PAS sahaja. Parti-parti lain hanya muncul seketika untuk satu dua pilihanraya dan kemudiannya hilang.

Pihak UMNO menghadapi tentangan begitu hebat dari PAS yang baru bangkit semula selepas tersungkur dalam pilihanraya umum 1978 ekoran ditendang keluar dari Barisan Nasional pada tahun 1977.

Sejak penghujung tahun 1999 hingga sekarang, muncul pula Parti Keadilan Nasional(keADILAN) sebelum menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR), pimpinan Anwar Ibrahim dan isteri yang cuba mencari pengaruh dikalangan bekas-bekas UMNO Terengganu.

Manakala Parti Tindakan Demokratik (DAP) hanya tenggelam timbul sahaja di Terengganu kerana kaum Cina yang menjadi pendokong kuat parti tersebut adalah kecil sahaja, tidak sampai 10 peratus pun di Terengganu.

Tanpa diduga lebih awal, UMNO akhirnya tumbang buat kali kedua di Terengganu pada pilihanraya umum tahun 1999 ekoran pergeseran dalaman UMNO terutama antara kem Wan Mokhtar (Kemaman) dan Yusof Noor (Besut).

Tetapi UMNO tidak mengambil masa yang panjang selepas tewas di Terengganu pada tahun 1999. Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri dihantar menjadi ‘nakhoda’ UMNO Terengganu dengan menggantikan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang kemudiannya dihantar menjadi Duta ke Arab Saudi.

Dalam pilihanraya umum 2004, UMNO kembali menang gemilang dibawah pimpinan Pak Lah yang sudah menjadi Perdana Menteri ketika itu. Serangan aura Pak Lah mengatasi kemampuan kerajaan PAS untuk bertahan bagi penggal kedua.

Sejak tahun 2004, Datuk Idris Jusoh ADUN Jertih dari Besut mula dilantik menjadi Menteri Besar dan nakhoda baru UMNO Terenggganu. Namun selepas pilihanraya umum ke-12, Mac 2008 gerhana mula melanda UMNO Terengganu semula bila Idris Jusoh tidak diretui menyambung semula tugasnya sebagai Menteri Besar.

Ekoran situasi ini, UMNO Terengganu mula memberontak kepada Sultan Terengganu. Setelah keadaan menjadi semakin tegang, Ahmad Said ADUN Kijal, Kemanan yang menjadi seteru kepada Idris direstui menjadi Menteri Besar Terengganu yang baru. Beliau kemudiannya dilantik menjadi Ketua Perhubungan UMNO Terengganu bila keadaan semakin reda.

Bagaimanapun selepas peralihan kepimpinan UMNO baru-baru ini, Ahmad Said yang masih menjadi Menteri Besar Terengganu turut dipinggirkan oleh kepimpinan baru UMNO dengan melantik Naib Presiden UMNO, Datuk Hishamuddin Hussein, dari Johor sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu menggantikan Ahmad Said.

Ini menjadikan Ahmad Said satu-satunya Menteri Besar yang tidak dilantik menjadi “nakhoda” UMNO di negeri yang diperintahnya. Beliau diturunkan pangkat menjadi Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO sahaja.

Lain-lain Menteri Besar terus menjadi “nakhoda” UMNO dinegeri masing-masing. Malah di Perak dan Perlis pun, Menteri Besar Dr. zamri kadir dan Md Isa Sabu yang tidak menjadi Perngerusi Perhubungan UMNO dinegeri masing-masing sebelum ini pun dilantik semula menjadi “nakhoda’ UMNO di negeri masing-masing.

Sekarang ini Ahmad Said bukan sahaja tidak berkuasa dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana terpaksa berdepan ADUN-ADUN pilihan bekas Menteri Besar terdahulu tetapi perlu mendapat ‘belas ehsan’ pengikut-pengikut setia Idris Jusoh untuk mengekalkan kerajaannya.

Malah sekarang dalam partinya, dia tidak boleh kawal seperti sebelum ini kerana tidak lagi jadi “nakhoda” di Terengganu. Sebagai Menteri Besar, dia sedang tersepit dalam usaha menyelamatkan kerajaannya. Kesian pada Ahmad Said.

Mahu tidak mahu, mungkin terpaksa menerima huluran kerjasama pembangkang, PAS dan membentuk kerajaan baru jika berterusan diasak serta diboikot oleh ADUN dari kem Idris Jusoh.

Pergolakan yang berlaku dalam UMNO Terengganu sekarang ini mengulangi apa yang pernah dialami sebelum ini pada akhir tahun-tahun 1990’an semasa era kepimpinan Wan Mokhtar yang juga secara kebetulan dari Kemaman.

Saya tidak pasti apa akan berlaku dalam episod-epuisod seterusnya selepas ini. Sama-Samalah kita tunggu… Mungkinkah putaran sejarah sedang berulang semula di Terengganu.

Tiada ulasan: