Sabtu, 18 April 2009

Berita bahasa Melayu RTM kembali pukul 8 malam

BERNAMA


KUALA LUMPUR — Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan melakukan perubahan waktu bagi slot beritanya termasuk bagi berita utama Nasional@1 (Bahasa Melayu) yang akan kembali bersiaran pada pukul 8 malam mulai Isnin ini selepas dipinda ke pukul 9 malam sebelum ini.

Tempoh siaran Nasional@1 (Bahasa Melayu) juga bertambah menjadi satu jam pada Isnin hingga Sabtu manakala setiap Ahad akan bersiaran dari pukul 8 hingga 8.30 malam, demikian menurut satu kenyataan RTM hari ini.

Siaran Nasional@1 juga ditambah setiap hari Isnin hingga Ahad pukul 12 malam hingga 12.30 tengah malam yang dikekalkan siarannya menerusi TV1.

Penukaran waktu turut meliputi berita Nasional@1 (Mandarin) yang akan disiarkan pukul 6.30 hingga 7 petang, Nasional@1 (Tamil) pada pukul 6 hingga 6.30 petang dan pukul 8 hingga 8.30 malam untuk Nasional@1 (Inggeris) yang disiarkan di TV2. “Justeru, perubahan waktu yang berlaku turut menyebabkan siaran berita Wilayah@1 bersiaran pukul 6 hingga 6.30 petang setiap Isnin hingga Ahad di TV1,” kata RTM.

Berita Warta Serumpun melibatkan berita terkini dari Malaysia dan Indonesia, yang sebelum ini disiarkan setiap hari Ahad, akan dipercepatkan siarannya dari pukul 10.30 malam kepada 8.30 malam selama setengah jam.

Waktu siaran Global@1 dikekalkan seperti sebelumnya pukul 11.05 malam dan hanya ditambah waktu bersiaran daripada setengah jam kepada satu jam setiap Ahad.

“Mulai Isnin juga, RTM menambahkan slot Berita Luar Negara yang akan disiarkan setiap Isnin hingga Ahad pukul 4.31 hingga 5 pagi istimewa kepada penonton yang mahu mengikuti berita terkini luar negara,” menurut kenyataan itu.

Tiada ulasan: