Isnin, 20 April 2009

Baru sekarang Umno cakap soal pembaziran - Dr Ramasamy

Zuharman MN


KOTA BHARU - Mengapa baru sekarang pemimpin Umno bercakap soal membazir dalam kempen pilihan raya, sedangkan sebelum ini rakyat sering disaji dengan banyak projek segera.

Tengoklah di mana sahaja pilihan raya diadakan, projek segera melimpah ruah. Malah pada pilihan raya kecil di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau projek segera ditaburkan tanpa segan silu.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy mempersoalkan mengapa sebelum ini pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak bercakap soal pembaziran.

"Dahulu banyak duit kerajaan dihabiskan mengapa diam saja. Mungkin mereka baru sedar keperitannya menghadapi parti lawan dalam pilihan raya kecil sekarang.

"Sebenarnya apa yang diluahkan Perdana Menteri baru tidak lebih sebagai kenyataan politik kerana keperitan yang dirasai empat pilihan raya kecil pasca pilihan raya umum ke-12," katanya pada ceramah di Padang Perdana, malam semalam.

Dato' Seri Najib Razak sebelum ini dilaporkan berkata, BN akan meneliti sama ada mahu menyertai pilihan raya kecil di Dun Penanti memberi manfaat kepada rakyat atau sebaliknya.

Khamis lalu, Adun Penanti, Mohamad Fairus Khairuddin meletak jawatan sebagai Adun.

Sebelum itu beliau disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung operasi sebuah kuari secara haram di Pulau Pinang.

Dr Ramasamy berkata, BN mengidap penyakit fobia untuk berdepan dengan pilihan raya kecil ekoran kekalahan empat pilihan raya yang diadakan sebelum ini.

Beliau juga memuji tindakan profesional Fairus yang seharusnya menjadi tauladan kepada semua pihak dengan meletak jawatan bagi memantapkan struktur organisasi parti.

"Inilah juga prinsip Pakatan Rakyat, sesiapa sahaja dituduh terlibat dengan rasuah mereka perlu meletak jawatan.

"Sama ada tuduhan itu benar ataupun tidak, tetapi standard Pakatan Rakyat demi imej parti. Seluruh ahli mesti akur prinsip tersebut," katanya juga bekas ahli akademik selama 25 tahun.

Beliau juga berkata, kekuatan demokrasi adalah bergantung kepada pakatan politik yang tidak berasaskan perkauman seperti yang diamalkan Pakatan Rakyat sekarang.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kerajaan Pakatan Rakyat mampu memberi kesejahteraan kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum.

Katanya, program merakyatkan ekonomi terbukti berjaya memandangkan ketelusan pemimpin Pakatan Rakyat mengagihkan sumber pendapatan kepada rakyat.

Hadir sama pada program tersebut Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato' Mohd Amar Abdullah dan Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah. - mj_

Tiada ulasan: