Ahad, 12 April 2009

Banjarmasin berusia 482 tahun

UTUSAN ONLINE


KALANGAN rakyat Malaysia memang tidak asing dengan suku kaum Banjar yang kini telah menjadi sebahagian daripada orang Melayu negara ini.

Kaum Banjar kebanyakannya tinggal di Perak terutama di Teluk Intan dan bahagian utara negeri Perak.

Kebanyakkan terlibat dalam penanaman padi, walaupun ramai generasi baru memperoleh kerjaya lebih baik seperti mana rakyat Malaysia lainnya. Namun tidak ramai yang berkesempatan untuk menelusuri kembali keturunan mereka yang masih lagi berada di Banjarmasin, Indonesia.

Oleh kerana kedudukan Banjarmasin agak sukar dikunjungi dari Malaysia, kebanyakan orang Banjar hanya memendam sahaja keinginan untuk melihat tanah nenek moyang mereka.

Baru-baru ini saya sempat berkunjung ke Banjarmasin yang merupakan antara bandar tertua di Indonesia kerana pada 24 September 2008 lalu, Kota Banjarmasin telah berusia 482 tahun.

Penulis akan membawa laporan tiga siri tentang kehidupan dan keistimewaan kota seribu sungai ini.

Kota ini mempunyai banyak masjid yang besar-besar dan kaum wanitanya kebanyakannya memakai tudung, manakala yang lelaki memakai kopiah putih.

Kehidupan harian mereka berkait dengan sungai iaitu menangkap ikan, bertani dan sungai dijadikan tempat untuk bermandi-manda serta mendapatkan air yang bersih walaupun secara umum pembangunan sedang pesat membangun.

Sungai Barito dan Sungai Martapura memang menjadi nadi kehidupan di sini. Bagaimanapun kebanyakan penduduk di sini kurang bertutur di dalam bahasa ibunda mereka tetapi lebih banyak menggunakan bahasa Indonesia.

Dari segi pemerintahan, Banjarmasin kini dipimpin oleh Walikota Yudhi Wahyuni dan timbalannya, Alwi Sahlan.

Sejak dari dulu Banjarmasin menjadi pelabuhan masuk dan keluar bagi seluruh daerah aliran Sungai Barito dan merupakan tempat transit untuk kapal-kapal yang datang dari Singapura dan Jawa, untuk ke pantai timur Kalimantan.

Dari Kalimantan, dikirim pula keluar barang-barang hasil hutan seperti rotan, damar, kapur barus, jelutung, tikar purun, telur itik, buah-buahan, barang anyaman rotan, batu-batuan dan berlian.

Pada masa itu, banjarmasin mempunyai pelayaran yang teratur dan langsung dengan Sampit, Kotabaru, Samarinda, Martapura, Marabahan, negara, Amuntai, Buntok, Muara Teweh dan Kuala Kapuas dan di luar Kalimantan dengan Surabaya dan Singapura.

Nama Banjarmasin berasal dari istilah Banjarmasih. Disebut demikian kerana Bendaharanya atau patin disebut Patih Masih, atau Patih Oloh Masih. Oloh Masih dalam bahasa Ngaju bererti orang Melayu. Banjarmasih berasal dari Desa Oloh Masi atau Kampung Melayu.

Sehingga tahun 1664, surat-surat Belanda ke Indonesia untuk kerajaan Banjarmasin disebut Kerajaan Banjarmasin dalam ucapan Belanda "Bandzermash", kerana sukar mengucapkannya.

Melihatkan hubungan perdagangan Banjarmasin dengan Singapura, kemungkinan besar kaum Banjar yang terdapat di Malaysia asalnya berdagang dan memasuki Tanah Melayu melalui Singapura.

Tiada ulasan: