Jumaat, 29 Mei 2020

Kami tak lompat parti, 2 Adun beritahu KM Pulau Pinang

Adun Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (kiri) dan Adun Teluk Bahang, Zolkifly
Md Lazim bertegas mereka masih bersama PPBM.

GEORGE TOWN: Dua Adun PPBM yang berdepan tindakan disingkirkan daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang berkata, undang-undang anti-lompat parti negeri itu tidak terpakai ke atas mereka kerana mereka masih bersama parti berkenaan.

Adun Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata, undang-undang anti-lompat parti bertujuan menghukum mereka yang melompat parti, bukannya mereka yang kekal dalam parti sama.

“Undang-undang anti-lompat parti tidak terpakai kepada saya. Pakatan Harapan ialah gabungan dan bukannya parti. Dan saya masih ahli PPBM serta Adun di bawah parti itu,” katanya kepada FMT.

Khaliq, yang juga seorang peguam, berkata jika kerajaan negeri mahu meneruskan usul mengosongkan kerusinya, berdasarkan sokongannya kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, beliau akan mencabarnya di mahkamah.

Seorang lagi wakil rakyat PPBM, Adun Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim, turut sependapat dengan Khaliq.

“Kenapa kosongkan kerusi saya apabila saya masih ahli PPBM?” soal Zolkifly.

Seorang lagi wakil rakyat negeri itu, Adun Seberang Jaya, Afif Bahardin digantung keahliannya oleh PKR, tetapi beliau turut menyokong Perikatan Nasional.

Afif tidak dapat dihubungi kerana masih dirawat di hospital akibat kecederaan dalam kemalangan motosikal.

Terdahulu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dilaporkan berkata, usul mengosongkan kerusi 3 Adun itu diputuskan sebulat suara oleh kepimpinan PH Pulau Pinang.

Beliau berkata, 3 Adun itu akan dianggap ahli pembangkang mulai sekarang.

Katanya, penyingkiran mereka sebagai Adun sejajar Seksyen 14A Perlembagaan Pulau Pinang, yang membenarkan DUN mengosongkan kerusi ahlinya yang bertukar parti.

Beliau berkata, usul itu akan diundi dalam sidang DUN akan datang, yang dijadualkan pada suku terakhir tahun ini.

Sokongan 2 Adun PPBM itu kepada PN tidak mengubah majoriti diraih PH di DUN Pulau Pinang. Gabungan itu mempunyai 34 kerusi berbanding DAP yang memiliki 19 kerusi, PKR (13) dan Amanah (2).

Angka itu turut mengambil kira Afif yang menyokong PN.

Umno dan PPBM kini mempunyai 2 kerusi, manakala PAS memiliki satu kerusi. Secara keseluruhan, PN mempunyai 6 kerusi di negeri itu.


Tiada ulasan: