Ahad, 25 Ogos 2019

Azmin, Zuraida, Amirudin tetap tak hadir mesyuarat PKR


   

Beberapa pemimpin PKR masih tidak hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu walaupun peringatan telah dikeluarkan oleh setiausaha agungnya, Saifuddin Nasution.

Antara mereka ialah Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan Pengerusi PKR Selangor, Amirudin Shari.

PKR mengadakan mesyuarat bulanan itu hari ini dan dipengerusikan oleh presidennya, Anwar Ibrahim.

Ketidakhadiran Azmin turut disahkan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil ketika dihubungi namun beliau enggan mengulas lanjut.

“Mesyuarat hari ini bermula sekitar jam 3 petang dan berlangsung lebih kurang dua jam setengah," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Zuraida berkata beliau tidak hadir ke mesyuarat itu disebabkan perlu menghadiri program lain.

Bagaimanapun, anggota parlimen Ampang itu berkata ketidakhadirannya tidak perlu diperbesarkan.
“Saya tak datang sebab saya ada beberapa program tadi dan terus ke sini untuk perasmian (Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Cabang Selangor).

“Ini juga satu tanggungjawab parti yang mana kita harus jalankan tugas untuk perasmian mesyuarat agung," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Cabang PKR peringkat Selangor di Shah Alam.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata beliau sebelum ini seorang yang 'rajin' menghadiri mesyuarat parti, namun komitmen kerja menyebabkan kesuntukan masa menghadiri mesyuarat itu.

"Tak datang mesyuarat tak menjadi isu kerana saya seorang yang rajin datang mesyuarat sebelum ini.
Lepas jadi menteri ada kewajipan urusan menjadi menteri perlu diuruskan. Beri saya masa tumpu kementerian, lepas kita stabil insha-Allah kita akan hadir mesyuarat," katanya.

Sementara itu, Amirudin ketika diminta mengulas berhubung ketidakhadirannya enggan mengulas lanjut.

“Saya bergegas ke Batu sekarang,” katanya ringkas ketika ditemui pada program yang sama.

Bagaimanapun, Setiausaha Akhbar Amirudin, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree mengesahkan Adun Sungai Tua itu mempunyai program lain.

“Saya tak pasti (hadir atau tidak mesyuarat MPP) kerana petang ini beliau perlu merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Selangor dan Cabang Batu,” katanya kepada Malaysiakini.

Amirudin bulan lalu memberi alasan beliau tidak hadir mesyuarat MPP kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Anwar semalam dilapor berharap timbalannya Azmin akan muncul dalam mesyuarat pimpinan tertinggi parti itu hari ini, selepas berkali-kali tidak hadir.

Anwar juga membayangkan ada ketikanya Azmin tidak memberikan alasan mengapa tidak hadir dalam mesyuarat parti berkenaan.


Tiada ulasan: