Khamis, 25 April 2019

TONY PUA TAK FAHAM BAHASA

Wartawan Watan-Online


Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong membidas kenyataan pegawai khas Menteri Kewangan, Tony Pua yang yang mempersoalkan sama ada kleptokrasi kerajaan terdahulu dianggap sesuatu yang baik sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) mampu membayar kembali hutang negara.

Ka Siong berkata ahli Parlimen Damansara itu tidak memahami kenyataan sebenar beliau yang mendesak kerajaan PH untuk berhenti daripada menyebar propaganda konon 1MDB menyebabkan negara bankrap.

Berikut merupakan kenyataan penuh Wee Ka Siong yang juga ahli Parlimen Ayer Hitam:

Tony Pua bertanya sama ada ‘kleptokrasi’ adalah sesuatu yang baik jika negara boleh membayar balik hutang negara.

Nampaknya Tony ada masalah membaca memandangkan beliau tidak faham kenyataan sebenar saya.

Kenyataan asal saya mengatakan bahawa PH tidak lagi boleh menjadikan 1MDB sebagai alasan untuk mereka tidak menunaikan janji manifesto atau meneruskan propaganda kononnya 1MDB menyebabkan negara bankrap dan generasi akan datang dibebani dengan hutang.

Namun saya gembira apabila Tony akhirnya bersetuju bahawa Malaysia sememangnya mampu membayar balik hutang 1MDB.

Oleh yang demikian, pimpinan PH seharusnya mengikut saranan Tony supaya tidak lagi menggunakan 1MDB sebagai alasan.

Untuk rekod, saya langsung tidak pernah mengatakan bahawa perbuatan mencuri atau sebarang salahlaku termasuk berkaitan 1MDB itu sesuatu yang baik malah saya sentiasa menyokong siasatan yang dijalankan.

Saya juga merupakan salah seorang Ahli Parlimen yang memberikan undi sokongan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk membuka semula siasatan berkaitan 1MDB.

Walaubagaimanapun, kerajaan PH sendiri telah menggantung penyiasatan PAC tersebut sedangkan majoriti Ahli Parlimen telah pun bersetuju supaya ianya dibuka semula pada bulan Ogos tahun lepas.

Kerajaan PH juga tidak menyiarkan laporan audit khas berkaitan 1MDB yang dijalankan oleh Pricewaterhouse Coopers (PwC) walaupun ia sudah lengkap pada Ogos 2018 dan pernah dijanjikan oleh Menteri Kewangan.

Di samping itu, kerajaan PH juga telah membatalkan perjanjian penyelesaian antara syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) kerana ia akan menunjukkan ada klausa menyatakan IPIC perlu membayar semula wang yang dikatakan hilang dari 1MDB sebelum 31 Disember 2020.

Apabila kerajaan PH mengumumkan pembatalan tersebut dan mengatakan bahawa mereka tidak akan membayar hutang IPIC, IPIC dengan segera mengeluarkan kenyataan menegaskan bahawa 1MDB tidak berhutang apa-apa wang kepada IPIC.

Kerajaan PH bagaimanapun enggan mengulas kenyataan IPIC tersebut. Pembatalan berlaku sekitar bulan Ogos 2018 dan sehingga hari ini, tidak kedengaran sebarang berita berhubung apa yang berlaku dengan rundingan dengan IPIC berkenaan.

Mereka yang mengikuti kes 1MDB ini pastinya sedar bahawa sebahagian besar wang yang dikatakan hilang itu timbul selepas pemindahan aset yang dijamin oleh pihak pengurusan IPIC.

Justeru itu, bagi mendapatkan semula wang yang dikatakan hilang itu maka kerajaan PH terpaksa mengaitkannya dengan IPIC.

Namun, sudah hampir setahun PH ambil alih tampuk pemerintahan, kita masih belum mendengar sebarang berita mengenai usaha serius kerajaan PH memburu IPIC, malah pihak berkuasa turut mempersoalkan bekas pengurusan tertinggi IPIC yang dikatakan memasukkan duit 1MDB ke dalam akaun mereka dan menggunakannya.

Kenapa tiada tindakan dikenakan PH terhadap IPIC dan bekas pengurusannya?

Sekarang, kita kembali kepada jawapan Tony satu per satu.

1.Tony mendakwa kerajaan BN pada 2017 dan awal 2018 secara rahsia membayar RM6.77 bilion hutang 1MDB sementara kerajaan Pakatan Harapan perlu membayar lebih RM1.16 bilion hutang 1MDB pada 2018.

Rahsia? Tony dan Guan Eng sendiri mengesahkan bahawa aset 1MDB telah dipindahkan ke Kementerian Kewangan. Sebagai pelajar jurusan akauntan pastinya tahu bahawa pemindahan aset tidak boleh dilakukan dengan sebegitu mudah, tanpa mengambil kira pinjaman berkaitan aset tersebut.

Bila Kementerian Kewangan ambil aset, Kementerian Kewangan juga perlu membayar pinjaman.
Ini adalah logik dan asas perakaunan.

Tony kata pinjaman kekal berjumlah RM39 bilion adalah kerana 1MDB ada hutang RM7 bilion dengan Kementerian Kewangan.

Tony sebaliknya perlu menjawab persoalan tentang jumlah sebenar Kementerian Kewangan berhutang dengan 1MDB selepas mengambil alih aset berharga iaitu TRX dan Bandar Malaysia?

Soalan 2, 3 dan 4 dijawab serentak.

Terima kasih kerana mengesahkan bahawa hutang negara telah meningkat RM95.1 bilion (termasuk bon samurai RM7.3 bilion) sejak akhir 2017 serta RM82 bilion yang dijarah PH daripada Petronas.

Selepas dicampur, ia berjumlah RM177.1 bilion selepas kerajaan PH berjaya meningkatkan hutang negara dan menjarah rizab tunai Petronas RM170 bilion yang ditinggalkan BN.

Dengan itu, belanjawan defisit pentadbiran kerajaan PH jauh lebih besar berbanding BN dan Tony sendiri turut mengakui bahawa hutang negara telah meningkat dengan begitu ketara dan pantas.

Pada dasarnya, Tony membuktikan bahawa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah melakukan kesilapan apabila mengatakan hutang negara susut sedangkan ia meningkat dengan amat ketara.
Secara ringkasnya, berapakah yang diambil kerajaan PH daripada angka RM171 bilion ini?

RM177.1 bilion ini sudah mencukupi untuk menghapuskan keseluruhan pinjaman PTPTN sebanyak RM40 bilion dan hutang Prasarana Malaysia Berhad berjumlah RM31 bilion pada akhir tahun 2018 DAN hutang 1MDB RM39 bilion malah, masih mempunyai baki sebanyak RM60 bilion.

Namun yang demikian, tiada sesen pun hutang negara dikurangkan di bawah pentadbiran kerajaan PH walaupun sudah begitu banyak wang dikikis.

Soalan 5.

Tony kata beliau bersungguh-sungguh mahu ajar saya bagaimana GDV (Nilai Pembangunan Kasar) boleh digunakan untuk membayar hutang.

Tiada masalah. Pertama, 1MDB masih lagi memiliki 40% daripada projek Bandar Malaysia yang bernilai RM180 bilion dan memiliki kepentingan majoriti dalam projek TRX bernilai RM40 bilion termasuk 40% bagi pembangunan TRX Lifestyle Quarter.

Bandar Malaysia juga berhutang dengan 1MDB sekitar RM7.4 bilion.

Apabila kedua-dua projek ini sedang berjalan, ekonomi turut berkembang. Kerajaan pula akan mengutip cukai dan manfaat daripada proses ini menerusi syarikat, pekerja, pembekal dan pembeli hartanah dalam projek tersebut.

Kerajaan akan mengutip cukai jualan, korporat, duti setem peribadi dan juga keuntungan daripada pemilikan 40% saham 1MDB di Bandar Malaysia serta kepentingan majoriti dalam projek TRX.
Pendapatan ini sememangnya boleh digunakan untuk membayar hutang.

Adakah anda faham sekarang?

Soalan 6

Tony kata beliau bukanlah Yang Maha Kuasa atau Yang Maha Mengetahui dan tidak boleh menjawab tentang nilai keseluruhan impak ekonomi dua projek tersebut kepada negara kita.

Ini adalah sesuatu yang menakjubkan apabila kerajaan PH tidak tahu kesan ekonomi atau kajian kebolehlaksanaan sesuatu projek bernilai puluhan bilion ringgit!

Sukar dipercayai.

Soalan 7 dan 8 dijawab serentak.

Akhirnya saya dan Tony bersetuju bahawa kedua-dua projek 1MDB ini memberi manfaat kepada negara dan ekonomi kita.

Tony juga akhirnya bersetuju bahawa tidak semua berkaitan 1MDB itu merupakan satu beban atau negatif sebaliknya ada manfaat.

Maka, benarlah seperti apa yang saya kata sebelum ini.

PH tidak lagi boleh menjadikan 1MDB sebagai alasan untuk mereka tidak menunaikan janji manifesto atau meneruskan propaganda kononnya 1MDB menyebabkan negara bankrap dan generasi akan datang dibebani dengan hutang.


Tiada ulasan: