Jumaat, 26 April 2019

Siput ancam tanaman padi

Mohd Rafi Mamat
 
 
 
ANCAMAN siput gondang emas (SGE) terhadap tanaman padi di kawasan sawah Kampung Pahang Tua, Pekan semakin serius apabila mengakibatkan kerugian besar kepada hampir 500 pesawah.

Selain kerugian disebabkan anak pokok padi musnah dimakan siput, pesawah juga terpaksa mengeluarkan belanja tambahan untuk membeli racun bagi membunuh hidupan berkenaan yang begitu cepat membiak.

Pesawah Ishak Abdul, 51, berkata, setiap kali musim menanam dia kerugian antara RM7,000 hingga RM10,000 disebabkan serangan haiwan itu serta tikus, burung biru dan belibih yang semakin serius dan membimbangkan.

Menurutnya, walaupun racun digunakan setiap kali musim menanam namun serangan SGE terhadap anak pokok padi berumur 20 hari masih terus berlaku dan telur yang banyak dihasilkan menyebabkan pembiakan sukar dikawal.

“Terdapat racun import keluaran negara jiran dapat membunuh SGE namun disebabkan tidak didaftar menyebabkan kerajaan melarang penggunaannya di negara ini.

“Untuk menyelesaikan ancaman SGE di sawah Kampung Pahang Tua dan beberapa sawah lain di daerah ini saya berharap kerajaan dapat mempertimbang untuk meluluskan penggunaan racun terbabit,” katanya di Pekan, hari ini.

Beliau berkata, usaha lain yang boleh dilakukan pesawah ialah memungut SGE dewasa yang terdapat dalam sawah atau menggunakan itik yang akan memakan anak siput dalam sawah.

“Saya mengusahakan sawah seluas 12.14 hektar di Kampung Pahang Tua. Setiap musim terdapat beberapa petak sawah diserang SGE yang aktif pada petang dan malam. Hampir semua pesawah di sini menghadapi masalah yang sama.

“SGE bergerak masuk ke dalam petak sawah bersama air yang dialirkan terutama pada peringkat awal penanaman. Siput terbabit akan makan daun anak benih padi hingga menyebabkan pokok mati selain pertumbuhan tidak sekata,” katanya yang menetap di Kampung Langgar, dekat Pekan.

Dia yang berpengalaman lebih 15 tahun sebagai pesawah berkata, antara faktor projek tanaman padi di kawasan sawah Kampung Pahang Tua tidak mencapai kejayaan membanggakan ialah disebabkan serangan SGE, tikus, belibih dan burung biru secara berterusan.

Sementara itu pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan, Muhd Rizal Baharom berkata, pelbagai usaha dilakukan pihaknya untuk membantu pesawah mengatasi masalah serangan SGE yang kini semakin serius dan membimbangkan.

“Selain menyediakan racun, usaha lain yang dilakukan ialah dengan mengadakan program gotong-royong memungut SGE namun selepas beberapa kali aktiviti terbabit dilakukan kesannya tidak banyak berubah.

“Kita juga mengalakan pesawah menternak itik telur bagi mengawal pembiakan siput dan usaha berkenaan dianggap berkesan selain memberi pendapatan tambahan jualan telur, ” katanya.

Tiada ulasan: