Jumaat, 26 April 2019

'Rahmatan lil alamin' akan jadi dasar baharu

Siti Nor Hidayatidayu Razali
 
 

GAGASAN ‘rahmatan lil alamin’ akan menjadi dasar baharu kerajaan dalam membentuk masa depan Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, cadangan gagasan berteras rahmatan lil alamin, Maqasid Syariah dan model Malaysia berada di peringkat akhir serta dijangka menjadi antara agenda untuk diluluskan dalam Mesyuarat Kabinet, bulan depan.

Katanya, kertas cadangan gagasan sebelum ini sudah mendapat kelulusan melalui Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), 14 Mac lalu yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sebaik kertas cadangan ini diluluskan dalam Mesyuarat Kabinet nanti, ia akan menjadi gagasan masa depan bagi membentuk Malaysia baharu dan perlu disokong semua pihak.

“Walaupun cadangan ini belum di peringkat Kabinet, namun saya sudah menjelajah di lima kementerian untuk menjelaskan mengenai gagasan ini dalam bentuk diskusi bersama menteri. Insya-Allah, saya akan ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk memberi penerangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Jelajah Kampus ‘rahmatan lil alamin’ di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kampus Kota, di sini, malam tadi yang dihadiri kira-kira 900 mahasiswa untuk berdialog dengan menteri terbabit.

Mengulas lanjut beliau meminta semua pihak mendoakan supaya cadangan itu diterima secara rasmi bagi membantu Malaysia baharu mencapai cita-citanya.

“Saya mahu semua kementerian dapat membawa aspirasi ini melalui semua aktiviti mereka dalam mencapai sasaran negara rahmat,” katanya.

Pada masa yang sama beliau berkata, program Jelajah Kampus ‘rahmatan lil alamin,’ adalah satu platform bagi membolehkan semua mahasiswa daripada Universiti Awam (UA) memberi pandangan mengenai pentadbiran Islam.

Tiada ulasan: