Selasa, 30 April 2019

Mazlan Bujang pengerusi Bersatu Johor


   

Ketua bahagian Bersatu Tebrau, Mazlan Bujang dipilih sebagai pengerusi Bersatu Johor yang baru bagi menggantikan Osman Sapian yang juga bekas menteri besar Johor.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya hari ini.

"Saya fikir dia telah diberikan surat pelantikan," katanya kepada media selepas pertemuan tertutup dengan kakitangan awam yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Sejak beberapa hari lalu terdapat khabar angin bahawa Mazlan, yang digugurkan daripada barisan Exco minggu lalu akan dilantik sebagai pengerusi Bersatu Johor.

Memetik sumber, Berita Harian melaporkan pelantikan Mazlan itu merupakan arahan dari kepimpinan pusat.

Difahamkan majoriti 26 ketua bahagian Bersatu telah bersetuju dengan pelantikan itu manakala tiga yang lain berbeza pendapat.

Bagaimanapun, pengarah media Bersatu Johor, Solihan Badri menolak khabar angin bahawa pengundian dilakukan semasa mesyuarat.

Pelantikan Mazlan di luar kebiasaan kerana menteri besar biasanya akan memegang jawatan sebagai pengerusi negeri.

Sebaliknya, menteri besar Johor yang baru, Sahruddin Jamal yang menggantikan Osman dipilih sebagai setiausaha Bersatu Johor.


Tiada ulasan: