Sabtu, 27 April 2019

Flat retak, lebih 200 penghuni dipindah

Bernama  

   
Seramai 222 penghuni bangunan empat tingkat Blok F di Flat Taman Keramat Permai di Kuala Lumpur dipindahkan ke pusat pemindahan sementara, susulan penemuan keretakan di bangunan itu sejak tengah hari tadi.

Ketua Pengurusan Bencana Negeri Selangor Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata kesemua penghuni daripada 37 keluarga itu dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Keramat sebagai langkah keselamatan.

"Majlis Perbandaran Ampang Jaya mengesyorkan semua penghuni blok ini mengosongkan bangunan dan pihak polis akan menguatkuasakan kawalan keselamatan agar tiada penduduk berada di blok ini memandangkan keretakan masih aktif," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian malam ini.

Beliau berkata pemantauan akan diteruskan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kerja Raya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Malaysia.

Ahmad Fairuz menasihatkan penduduk supaya mematuhi arahan pihak berkuasa demi faktor keselamatan.

Tinjauan Bernama mendapati penduduk blok berkenaan mula mengosongkan bangunan itu sejak pukul 10.30 malam.

Mereka antaranya dilihat membawa beg pakaian dan barang keperluan lain menuruni tangga di blok kediaman empat tingkat itu.

Menurut seorang penduduk, Sukiman Mukni, 72, keretakan itu dipercayai berlaku susulan hujan lebat sejak semalam.

"Pagi ini keretakan semakin merebak dan kami rasa tidak selamat," katanya yang telah menetap di kawasan kediaman itu sejak 28 tahun lepas.- Bernama


Tiada ulasan: