Sabtu, 22 September 2018

Projek Tasik Kenyir diteruskan – MB

Mohd Zaini Samsu Hadi
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Menteri Besar Terengganu, Yb Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bercakap pada majlis Pelancaran Tren ETS Berpaparan Beautiful Terengganu di KL Sentral, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK
 

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Terengganu sedang memikirkan langkah untuk menyiapkan projek-projek oleh kerajaan terdahulu di kawasan Tasik Kenyir.

Langkah itu perlu bagi mengelak kerajaan negeri daripada menanggung bebanan kewangan yang tinggi, kata Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurutnya, projek-projek yang telah berjalan di kawasan tersebut perlu siap dan dipastikan dapat memberi manfaat kepada kerajaan negeri, rakyat dan penduduk setempat.

“Kenyir adalah sebahagian kawasan yang menjadi tumpuan untuk kita bangunkan sebagai kawasan industri pelancongan berkonsepkan persekitaran ekologi.

“Jadi di sana banyak perkara termasuklah projek-projek yang dilaksanakan oleh pentadbiran sebelum ini yang sedang berjalan dan perlu siap.

“Kita kena memikirkan bagaimana perlu menyiapkan projek berkenaan tanpa berlaku bebanan kewangan kepada kerajaan negeri, itu yang penting,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas melancarkan Tren ETS Berpaparan Beautiful Terengganu di KL Sentral, di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, beliau akan melihat perkara itu dengan lebih jelas agar pewartawaan Tasik Kenyir sebagai taman negeri dapat dimanfaatkan bersama.

Sementara itu dalam perkembangan lain Ahmad Samsuri berkata, Kerajaan Terengganu mensasarkan kemasukan empat juta pelancong dari dalam dan luar negara pada tahun hadapan.

Katanya, bagi tujuan itu banyak program telah dilaksanakan sebagai promosi pelancongan terutama mendapatkan kerjasama dengan Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Jelas beliau, meskipun Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang tidak mempunyai stesen atau landasan keretapi namun, langkah mempromosikan negeri berkenaan menerusi pelbagai cara sedang giat dijalankan.

Terdahulu, Ahmad Samsuri melancarkan kolaborasi antarabangsa kerajaan Terengganu dengan KTM sempena kempen Beautiful Terengganu dalam menonjolkan keunikan dan keindahan destinasi pelancongan di negeri itu melalui rangkaian laluan perkhidmatan ETS.

KTM sebagai operator pengangkutan rel awam bertindak mempromosikan Terengganu melalui paparan iklan pada skrin yang terdapat di dalam tren ETS.

Antara paparan yang diiklankan di dalam ETS ialah menu nasi dagang dan keropok lekor yang sinomim dengan negeri Terengganu. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: