Jumaat, 27 April 2018

PRU14: PAS P. Pinang umum calon DHPP dan Gagasan Sejahtera

ANTARAPOS
Post Pic
 
 
KEPALA BATAS: PAS Pulau Pinang semalam mengumumkan lima wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dan Parti Alternatif Rakyat (PAP) yang akan mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
 
Pesuruhjaya PAS negeri Muhamad Fauzi Yusof berkata, wakil DHPP Jay Kumar Balakrishnan akan bertanding di kerusi Parlimen Batu Kawan selain Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Uban yang akan ditandingi Datuk Dr. M. Vikneswaran dan A. Kumaravelu (Bukit Tambun).
 
Tambahnya, dua wakil PAP adalah G. Asoghan di kerusi DUN Perai dan bekas ADUN Jawi, Tan Beng Huat akan bertanding di tempat lamanya.
 
Selain itu menurut Muhamad Fauzi, PAS sendiri turut menambah satu lagi kerusi yang akan ditandingi di DUN Machang Bubok dengan meletakkan Penolong Setiausaha PAS negeri Jamil Abdul Rahman.
 
"Rakan strategik PAS iaitu Parti Cinta Malaysia (PCM) juga telah mengumumkan calon mereka semalam yang akan bertanding di kerusi Parlimen Bagan dan DUN Air Putih.
 
"Dengan senarai yang dibuat ini, PAS secara rasmi akan bertanding di lapan kerusi Parlimen dan 24 kerusi DUN di Pulau Pinang dalam PRU-14," katanya kepada pemberita di Markas Tarbiyah Pas Pongsu Seribu, di sini malam tadi.
 
Jelasnya lagi, semua calon yang dipilih juga telah menandatangani aku janji sebagai tanda taat setia mereka kepada PAS dan perlu meletakkan jawatan sekiranya mereka melompat parti suatu hari nanti.
 
 

Tiada ulasan: