Khamis, 26 April 2018

PH janji stabilkan harga minyak dalam 100 hari pentadbiran

 
Presiden PH, Wan Azizah Wan Ismail berkata, pengekalan harga petrol dan diesel selama 5 minggu berturut-turut oleh KPDNKK membuktikan harga minyak sebenarnya boleh distabilkan.





PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) berjanji akan memperkenalkan semula subsidi secara bersasar untuk menstabilkan harga petrol dan diesel dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran gabungan pembangkang itu, jika mereka memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia sejajar teras utama pentadbiran PH untuk meringankan beban hidup rakyat.

Beliau turut mempersoalkan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) sama ada pengekalan harga petrol RON95, RON97 dan diesel selama 5 minggu berturut-turut disebabkan PRU14.

“Sungguhpun harga minyak Brent berada di paras paling tinggi sejak November 2014, harga kekal untuk 5 minggu berturut-turut.

“Ini menimbulkan persoalan adakah harga petrol dan diesel tidak berubah selama 5 minggu berturut-turut kerana PRU14 akan berlangsung pada 9 Mei ini?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden PKR itu berkata, pengekalan harga petrol dan diesel selama 5 minggu berturut-turut membuktikan harga minyak sebenarnya boleh distabilkan.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan harga runcit minyak di negara ini tidak berubah untuk minggu ke-5 berturut-turut iaitu RON95 berharga RM2.20 seliter, RON97 RM2.47 seliter dan diesel RM2.18 seliter.

Mulai 29 Mac 2017, harga petrol dan diesel yang ditentukan sistem apungan terurus, diumumkan secara mingguan pada setiap Rabu berbanding setiap bulan.

Harga petrol dan diesel diletakkan di bawah sistem apungan terkawal secara bulanan sejak 1 Disember 2014, berikutan penghapusan subsidi minyak.

Tiada ulasan: