Jumaat, 27 April 2018

PAS Mahu jadi Langkawi Pusat Pelancongan Islam

Leyya S.


pas


PAS Langkawi mahu menjadikan daerah itu sebagai pusat pelancongan bercirikan Islam sekiranya diberikan mandat untuk mentadbir Kedah kata calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah, Mazlan Ahmad.

Katanya, PAS akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam merangka pelan tersebut antaranya membuat larangan kepada orang Islam untuk tidak masuk ke pusat hiburan dan juga membeli minuman keras.

Jelasnya, PAS pernah melaksanakan perkara itu ketika menerajui Kedah apabila membangunkan Hotel Adya di Langkawi yang bercirikan Islam dengan memisahkan kolam renang antara lelaki dan wanita.

“Kita pernah buat (seperti Hotel Adya) tapi kita tak boleh sambung pemerintahan jadi terbengkalai. Kita akan meletakkan syarat pemaju masyarakat Cina nak buat tempat minum keras, rumah urut boleh buat tapi ada syarat tak dibenarkan umat Islam masuk.

“Bukan kata bila kita perintah tak boleh buat apa dah, kita nak fokus pelancongan Islamik. Contoh pelancong nak minum arak kena ada syarat, kita nak orang Islam tak dibenarkan masuk, penguatkuasa takkan benarkan mereka masuk.



“Maknanya kita rasa Langkawi akan jadi pusat pelancongan Islam pertama di dunia lah,” kata Mazlan (gambar) kepada pemberita di Markas PAS Temoyong, Langkawi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya rancangan PAS di Langkawi sekiranya mereka memenangi PRU14.

PAS pernah memenangi Kedah pada PRU12 ketika bersama Pakatan Rakyat (PR). Namun penggal berikutnya BN menawan semula negeri jelapang padi itu dengan majoriti mudah, 21 daripada 36 kerusi DUN.

Mazlan turut berkata, rancangan PAS untuk menjadikan Langkawi sebagai pusat pelancongan Islam tidak dapat dilaksanakan selepas BN mengambil alih negeri itu.

Selain itu beliau turut yakin jika ia dilaksanakan, pelancong akan turut hadir kerana konsep itu hanya tertumpu kepada orang Islam dan tidak melibatkan mereka yang bukan beragama Islam.

“Sistem pelancongan Islamik tu kita rasa tak mustahil kita boleh buat. Sekarang disebabkan pimpinan tak nak cara tu (kita tak boleh buat). Jika kita tak buat, Islam akan berada dibelakang dan kita buat tak menekan bangsa lain, dia bebas buat cara dia,” katanya.


Tiada ulasan: