Sabtu, 17 Februari 2018

Terowong dasar laut: Guan Eng boleh disiasat kerana keluar kenyataan mengelirukan

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
GEORGETOWN: Ketua Menteri, Lim Guan Eng mungkin boleh dikenakan tindakan tatatertib apabila cuba mengelirukan DUN Pulau Pinang dengan mengeluarkan beberapa kenyataan bercanggah berhubung isu terowong dasar laut.
 
Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid, berkata Guan Eng boleh dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk dibicarakan dengan proses itu boleh dilakukan pada bila-bila masa dan ia perlu diusulkan pada sidang DUN.
 
"Proses ini agak teknikal dan memerlukan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi memastikan jawatankuasa berkenaan bersetuju mendengar usul meminta supaya kenyataan Guan Eng mengenai isu ini di DUN, disiasat.
 
"Tambahan pula, kenyataan Guan Eng berhubung isu ini yang direkod dalam 'hansard' DUN adalah tidak tertakluk kepada tempoh had masa dan ia boleh disiasat pada bila-bila masa," katanya dipetik laporan BH Online.
 
Ditanya sama ada wakil BN akan membentangkan usul terbabit pada sidang DUN seterusnya, Jahara berkata, pihaknya perlu melakukan persiapan terperinci sebelum mengemukakannya untuk didengar di DUN.
 
"Buat masa ini, kita biarkan kenyataan Guan Eng ini diadili di pentas rakyat kerana itulah yang sebaiknya. Ia selari dengan perjuangan pakatan pembangkang yang gemar menjadikan rakyat sebagai 'hakim'," katanya.
 
Kerajaan negeri pimpinan DAP didakwa mengelirukan DUN Pulau Pinang dan rakyatnya berhubung isu terowong dasar laut apabila dikatakan memberi beberapa kenyataan bercanggah di beberapa sidang DUN dan pada sidang media Guan Eng, sebelum ini.
 
Pada 5 Januari lalu, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Huan Cheng Guan membuat laporan dan menyerahkan bukti baharu berhubung projek terowong dasar laut bernilai RM15 bilion itu kepada SPRM di Putrajaya untuk siasatan sama ada wujud unsur salah laku atau rasuah dalam pembidaan projek dasar laut itu.
 
Ia merupakan laporan kedua beliau kepada SPRM berkaitan kes berkenaan. Huan membuat laporan pertama di SPRM untuk kes yang sama pada 21 Julai tahun lepas. 
 
Sebelum itu pada 17 Julai, Huan membuat laporan polis di Pulau Pinang dan meminta supaya disiasat dakwaan berhubung kerajaan Pulau Pinang telah menganugerahkan projek kepada sebuah syarikat yang mempunyai modal di bawah paras ditetapkan ketika membida projek terowong dasar laut itu.
 
Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd, yang terdiri daripada beberapa syarikat.
 
Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi antaranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.
 
 

Tiada ulasan: