Jumaat, 23 Februari 2018

PPBM beri 7 hari kepada SPRM dedah individu sogok ahli keluar parti

 
Peguam PPBM, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, berkata gagal berbuat demikian, PPBM akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM. 


Haniff-Khatri_ppbm_1
Mohamed Haniff Khatri Abdulla (kiri) yang ditemani Mukhriz Mahathir (kanan) memberi 7 hari kepada SPRM mendedahkan butiran siasatan ke atas seorang individu yang didakwa ditahan kerana cuba menyogok ahli PPBM keluar parti.


PETALING JAYA: PPBM hari ini memberi tempoh 7 hari kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengesah dan mendedahkan butiran siasatan ke atas seorang individu yang didakwa ditahan kerana cuba menyogok ahli PPBM keluar parti.

Peguam parti itu, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, berkata gagal berbuat demikian, PPBM akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM.

“Satu surat tuntutan kepada SPRM telah diserahkan hari ini yang mana kita menggesa SPRM mendedahkan kepada awam berhubung kes itu.

“Sejak 5 Februari lalu, tiada pendedahan kepada awam dibuat SPRM. Kita minta SPRM (mengambil) serius sebab rakyat mula muak dengan slogan cakap kosong SPRM,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PPBM di Yayasan Selangor.

Pada 16 Februari lalu, Haniff berkata, PPBM akan terus menekan SPRM untuk mengesah dan mendedahkan butiran siasatan seorang individu yang dikatakan ditahan kerana cuba menyogok ahli PPBM keluar parti.

Haniff berkata, sejak tangkapan itu didedahkan 5 Februari lalu, SPRM belum membuat kenyataan tentang perkembangan kes itu.

Haniff sebelm itu turut memberi 48 jam kepada SPRM untuk mendedahkan individu yang didakwa ditahan kerana cuba menyogok pemimpin serta ahli PPBM meninggalkan parti itu.

Pada 5 Februari lalu, Ketua Wanita PPBM, Rina Mohd Harun mendakwa ada pihak menawarkan imbuhan kepada seorang ahlinya untuk mengadakan sidang media bagi memburukkan parti itu.

Katanya, ahli itu bagaimanapun menolak tawaran berkenaan dan menyerahkan bukti kepadanya yang kemudian membuat laporan bersama bukti kepada SPRM dan dimaklumkan suruhanjaya itu sudah menahan suspek terbabit.

Keesokannya, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan individu yang ditahan itu ialah seorang bekas pemimpin PPBM.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi FMT pada hari sama berkata, beliau akan menyemak jika ada kes sedemikian.

Sementara itu, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kecewa dengan sikap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) tidak memberi peluang kepada parti itu menjelaskan aduan yang didakwa dibuat ahlinya.

“Aduan yang dibuat kepada JPPM itu sepatutnya diberikan kepada PPBM agar kita boleh lihat sama ada pengadu itu adalah ahli PPBM atau aduan yang dibuat itu berasas.

“Tetapi tidak, sehingga hari ini, JPPM langsung tidak memberi peluang untuk kami menjelaskannya. Ini tidak adil,” katanya.

Tiada ulasan: