Selasa, 27 Februari 2018

Pertahan akidah tidak korban perpaduan kaum

HAJI JOFRI JARAIEE

 
 
PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Sarawak memerhatikan secara rapat berkenaan kes penukaran status agama daripada Islam kepada Kristian oleh empat orang individu. Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan hari ini permohonan semakan bidang kuasa oleh Mahkamah Syariah Sarawak membabitkan pengesahan keluar daripada agama Islam yang dimohon empat individu tersebut.
 
PAS Sarawak menyeru seluruh umat Islam di Malaysia dan khususnya di Sarawak untuk berdiri teguh bersama institusi Islam di negeri ini dalam perbicaraan kes ini.
 
Kes ini sekali lagi jelas menunjukkan pertembungan antara bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Usaha PAS di peringkat nasional untuk memperkasakan peranan dan meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Undang-undang Syariah melalui pindaan Akta 355 bertepatan pada masanya dan perlu disokong serta didukung oleh pimpinan politik Islam Melayu di negeri ini.
 
Usaha untuk memartabatkan institusi Mahkamah Syariah perlu dipertingkatkan selaras kesucian dan ketinggian agama Islam itu sendiri. Ini juga selaras dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan yang istimewa berbanding agama-agama lain di negara ini sebagaimana termaktub di dalam kepada Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.
 
Kerjasama erat antara semua Agensi-agensi kerajaan, NGO-NGO, Parti-parti politik dan orang perseorangan amatlah mustahak dalam mempertahankan akidah umat Islam di negeri ini. Suka juga ditekankan betapa pentingnya seluruh warga Malaysia yang terdiri dari masyarakat majmuk pelbagai kaum dan agama ini menghayati sejarah negara agar tidak mencabar isu sensitif melibatkan umat Islam.
 
Dalam masa yang sama, PAS Sarawak juga menyeru agar usaha dakwah dan penerangan berkenaan kefahaman dan keindahan Islam dapat terus digemblengkan bersama. Kebajikan mualaf dan saudara kita turut perlu sama-sama dipertingkatkan dan diambil perhatian serius oleh semua pihak.
 
PAS Sarawak sekali lagi menyeru seluruh umat Islam negeri ini untuk bersatu dalam hal berkaitan akidah tanpa mengorbankan perpaduan kaum yang telah terjalin sekian lama. Marilah terus bersama membina Malaysia Sejahtera dan Sarawak Sejahtera dengan Islam yang merupakan rahmat untuk semua.
 
Dikeluarkan Oleh:
HAJI JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya PAS Sarawak


Tiada ulasan: