Isnin, 26 Februari 2018

Mahkamah Persekutuan buat keputusan penting esok

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUCHING: Mahkamah Persekutuan di Kuching dijadual membuat keputusan penting esok sama ada Mahkamah Syariah Sarawak mempunyai bidang kuasa berhubung soal murtad.
 
Terdahulu hari ini, Mahkamah Persekutuan mendengar hujahan daripada peguam berhubung persoalan sama ada Mahkamah Syariah Sarawak mempunyai kuasa sedemikian apabila ini tidak dinyatakan dalam Ordinan Mahkamah Syariah 2001.
 
Persoalan itu dibangkitkan oleh empat penduduk di Sarawak yang memohon perintah mahkamah untuk membatalkan status mereka sebagai penganut Islam dan memaksa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengiktiraf mereka sebagai penganut Kristian.
 
Peguam mereka, Baru Bian memaklumkan di mahkamah bahawa Mahkamah Syariah Sarawak "tidak dibekalkan kuasa untuk memutuskan kes murtad" oleh Ordinan Mahkamah Syariah Sarawak 2001.
 
Beliau menjelaskan bahawa sekiranya Mahkamah Persekutuan mengesahkan bahawa Mahkamah Syariah Sarawak tidak mempunyai kuasa sedemikian maka perkara itu akan dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi.
 
"Sekiranya Mahkamah Persekutuan menjawab soalan undang-undang itu dalam bentuk afirmatif, rayuan akan ditolak dan perayu perlu kembali kepada Mahkamah Syariah untuk membuat permohonan untuk meninggalkan Islam," kata Baru yang dipetik oleh akhbar Borneo Post.
 
Kemelut ini bermula pada bulan Januari 2015, apabila Mahkamah Tinggi enggan memberikan kebenaran kepada Syarifah Nooraffyzza Wan Hoosen untuk memulakan kes bagi membatalkan status agamanya.
 
Ketika itu, mahkamah menolak permohonan berdasarkan keputusan daripada empat kes sebelumnya.
 
Susulan itu, tiga orang mualaf - Tiong Choo Ting @ Mohd Syafiq Abdullah, Salina Jau @ Salina Jau Abdullah dan Jenny Peter @ Nur Muzdhalifah Abdullah - berdepan keputusan sama pada September tahun itu.
 
Mahkamah Rayuan kemudian mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes yang dibawa oleh tiga orang mualaf itu tahun lalu.
 
Berikutan ini, mereka bersama-sama meminta tafsiran Mahkamah Persekutuan mengenai Ordinan Mahkamah Syariah 2001.
 
Empat plaintif itu menamakan pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Sarawak, Majlis Islam Sarawak, Ketua Pengarah JPN dan kerajaan negeri sebagai responden.
 
Panel Mahkamah Persekutuan akan dianggotai oleh lima orang yang terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Besar Hakim Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop dan hakim-hakim Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Jeffrey Tan dan Tan Sri Ramly Ali.
 
 

Tiada ulasan: