Rabu, 21 Februari 2018

Hadi Awang kata Dr Mahathir penentang pelaksanaan Islam

ISMA WEB

Terima Islam syarat utama jika PAS miliki kelebihan 40 kerusi Parlimen


BANGI – Datuk Seri Abdul Hadi Awang menuduh Tun Dr Mahathir Mohamad adalah antara individu yang tidak bersetuju dengan Islam yang meresap dalam kerajaan, tatkala PAS membentuk kerajaan bersama Perikatan di bawah Tun Abdul Razak Hussin sebagai Perdana Menteri.

Mengimbas tatkala parti itu berada dalam kerajaan campuran, Presiden PAS itu berkata, pada 1973 parti itu dijemput menyertai kerajaan, tetapi mengenakan lapan syarat, termasuk tiga yang penting iaitu tidak terikat dengan Perikatan, peluang melaksanakan Islam dalam kerajaan dan bebas berdakwah.

Katanya, Tun Razak menerima syarat itu dan apabila PAS menyertai kerajaan, pengaruh Islam mula merebak dalam jentera pentadbiran.

“Di sini merisaukan kalangan-kalangan yang tak setuju dengan Islam. Antara yang tak setuju dengan Islam ini ialah Dr Mahathir, hidup lagi dia. Ini tak setuju kesedaran Islam.

“Berlaku pertembungan yang berakhir dengan diisytiharkan darurat di Kelantan. Dan PAS dipecat daripada Barisan Nasional kita bergerak sendiri, menang puak-puak yang tak setuju dilaksanakan Islam ini dalam Umno,” katanya berucap pada ceramah perdana sempena pelancaran Markas Besar DUN Bukit Payong pada 13 Februari lalu di Marang.

Transkrip ucapan beliau disiarkan dalam lidah rasmi PAS, Harakah, hari ini.



Dr Mahathir sebelum ini diakui memang banyak menentang Islam yang dibawa PAS, termasuk sering membangkitkan isu Amanat Haji Hadi, selain mengatakan undang-undang Islam diperkenalkan PAS sebenarnya adalah ‘undang-undang Islam ala-PAS’.

Malah, Dr Mahathir juga pernah mengatakan PAS mempermainkan Islam, apabila sanggup menggugurkan perjuangan untuk Negara Islam dan hukum hudud, tatkala bergabung dengan parti anti-Islam, DAP, dan memperjuangkan Negara Berkebajikan.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, ketika memerintah Kelantan sejak 1990 dan Terengganu (1999), PAS meluluskan undang-undang Islam melalui sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi mendapat tentangan Kerajaan Pusat.

Beliau mendakwa, Perdana Menteri (ketika itu Dr Mahathir) menulis surat kepada Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat (Menteri Besar Kelantan) bahawa Kerajaan Pusat akan bertindak jika Kelantan melaksanakan syariat Islam.

“Terengganu dibawa ke mahkamah untuk halang melaksanakan syariat. Oleh kerana perjuangan kita bukan perjuangan Terengganu Kelantan sahaja, perjuangan kita seluruh Malaysia, bukan Terengganu Kelantan sahaja. Kita sebahagian daripada Malaysia. Maka kita mengambil kira seluruh negeri yang ada di Malaysia ini supaya kita mendapat kerusi yang sebanyak-banyaknya,” katanya.

Beliau mengulangi kenyataan bahawa jika PAS memiliki kelebihan 40 kerusi Parlimen, maka parti itu bersedia bekerjasama dengan parti lain bagi membentuk kerajaan, tetapi akan mengenakan syarat mesti menerima Islam.


Tiada ulasan: