Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Umno Pulau Pinang menghargai keprihatinan Presiden PAS Datuk
Seri Abdul Hadi Awang yang lantang menyuarakan keperitan yang dihadapi
rakyat di bawah pentadbiran kerajaan negeri pimpinan DAP.
ADUN Pulau Betong, Datuk Dr Muhamad Farid Saad berkata, beliau percaya
pandangan yang disuarakan Ahli Parlimen Marang itu berasas dan
berdasarkan pengalamannya yang pernah memimpin negeri.
"Saya berterima kasih kepada keprihatinan Datuk Seri Abdul Hadi di atas
kesudian beliau untuk mengambil berat tentang masalah yang dihadapi
oleh masyarakat di Pulau Pinang ini.
"Sebagai seorang yang pernah memimpin negeri, pastinya beliau tentu
tahu bahawasanya sebarang pembangunan yang dibuat tanpa mengambil berat
tentang kemaslahatan atau kebajikan dan kesejahteraan rakyat adalah satu
tidak adil kepada negeri itu sendiri.
"Jika pandangan Datuk Seri beri itu berdasarkan kepada maklumat yang
diterima itu, sebab itu lah yang sebenarnya pandangan masyarakat Pulau
Pinang ini. Memang kita merasakan ada banyak sekali perkara yang
dilakukan kerajaan negeri yang tidak mahu melihat ke bawah ke atas
masalah yang dihadapi masyarakat seperti banjir, pembangunan di tepi dan
lereng bukit, seperti projek besar untuk menambak laut dan sebagainya,"
katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Semalam, Hadi dilaporkan sebagai berkata kerajaan DAP di Pulau Pinang
gagal untuk menjadi sebuah "negeri yang bersih" dan menyebabkan
rakyatnya mengalami keperitan.
DAP memerintah Pulau Pinang sejak 2008 selepas Pakatan Rakyat gabungan
DAP-PKR-PAS berjaya mengalahkan Umno-Barisan Nasional pada Pilihan Raya
Umum ke-12 (PRU12).
Farid yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Balik Pulau turut
mempersoalkan 'usaha' kerajaan DAP pimpinan Lim Guan Eng dalam
memartabatkan Islam di negeri itu, seperti yang dibangga-banggakan
sebelum ini.
Beliau menyentuh soal campur tangan kerajaan negeri dalam proses
mengeluar dan mewartakan fatwa yang pernah menjadi hangat seperti yang
dibangkitkan ketua pemuda PAS negeri itu, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
"Cuba tanya kepada kerajaan Pulau Pinang kalau Islam itu sebagai agama
rasmi di Pulau Pinang ini kenapa tidak melepaskan fatwa-fatwa oleh
Majlis Fatwa? Berapakah masjid yang dibina oleh mereka? Janganlah kerana
mereka menambahkan 'topup' duit untuk masjid untuk soal agama
seolah-olah mereka telah menjadi juara dalam masyarakat Islam itu. Itu
tidak betul," ujarnya.
Mengulas lanjut, Farid juga melahirkan pandangan senada dengan Hadi
yang turut menyelar Penasihat DAP Lim Kit Siang yang didakwa
bercita-cita mahu menjadi perdana menteri, kerana ia bercanggah dengan
ketetapan Islam sebagai agama persekutuan.
"Kalau itulah cita-cita Encik Lim, saya rasa rakyat Malaysia harus
membantah. Saya pun secara peribadinya membantah mana-mana pemimpin yang
bukan Islam untuk menjadi pemimpin negara Malaysia sebuah negara Islam
ini," tambahnya.
Minggu lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan
penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2017, menyindir Kit Siang yang
didakwanya berminat menjadi perdana menteri.
"Kalau tak percaya, tanya dengan bekas wakil rakyat DUN Jawi," kata
Najib dalam ucapannya, merujuk kepada Tan Beng Huat, yang keluar DAP
pada 8 Disember lalu.
Tan mengakui sikap Kit Siang dan anaknya, Guan Eng sebagai punca beliau
meninggalkan parti yang disertainya lebih 10 tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan