Ahad, 17 Disember 2017

Syed Saddiq ‘tumpang’ demo UMNO raih populariti

Nizam Zain
Temubual bersama Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 
 

KUALA LUMPUR – Ketua Armada Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didakwa cuba meraih populariti dengan menyertai demonstrasi membantah isu Baitulmaqdis anjuran Pergerakan Pemuda UMNO dan Pas.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos menegaskan, pemuda pembangkang itu sepatutnya menganjurkan program sendiri dan tidak perlu menuduh beliau menghalangnya daripada memberi ucapan.

“Keadaan ketika kita berdemo membantah Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Jalan Tun Razak berasak-asak, beribu-ribu orang datang, sedangkan program tersebut dirancang oleh Pemuda UMNO dan Pas.

“Tiba-tiba ada pula pemuda lain nak tumpang toi. Kalau nak buat, buatlah lain hari, buat esok (Sabtu) pun boleh apa salahnya, ataupun buat petang sikit. Jadi tak perlulah nak menumpang program orang untuk mendapatkan publisiti.

“Akhirnya bila tidak diberikan tempat, menyalahkan orang lain, salahkan saya pula saya halang dia, saya pun nak ke depan, tapi dihalang oleh pihak polis FRU,” katanya ketika diwawancara MalaysiaGazette pada Laman Media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Sekeping gambar tular di laman Facebook menunjukkan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar didakwa menghalang Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada perhimpunan bantah tindakan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis ibu kota Israel di hadapan Kedutaan AS, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam.

Semalam, Pergerakan Pemuda UMNO dan Pas menganjurkan perhimpunan membantah tindakan Trump yang mengiktiraf Bailtulmaqdis sebagai ibu kota baharu Israel di hadapan Kedutaan AS di Jalan Tun Razak, di sini.

Susulan perhimpunan itu, sekeping gambar menunjukkan Jamal didakwa menghalang Syed Saddiq menjadi tular di laman sosial malah ada netizen mendakwa pemimpin NGO itu juga melindungi pemimpin muda itu.

Ditanya tentang kehadiran Syed Saddiq di belakang Jamal, beliau bagaimanapun tidak menyedarinya malah tidak pernah berjumpa dengan pemimpin Armada itu.

“Kalau saya tahu Saddiq ada di belakang tadi, saya tumbuk dia. Bukan saya nak melindungi, saya tak kenal dia pun Saddiq ini, saya pun tak tahu dia macam mana.

“Itu adalah satu tuduhan, jadi kalau dia kat belakang saya, kenapa dia tak tolak saya untuk kedepan, kenapa dia berdiri di belakang saya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

LIHAT VIDEO DI SINI

 

Tiada ulasan: