Rabu, 20 Disember 2017

Facebook perkenal ciri keselamatan baru

 
Ciri itu dapat mengesan dan mencegah kenalan tidak diingini seperti permintaan rakan dan mesej pengguna disekat, yang membuat percubaan ke-2 menerusi akaun baharu.


Facebook

facebook SAN FRANCISCO: Facebook pada Selasa memperkenalkan satu lagi ciri baharu untuk melindungi penggunanya daripada gangguan tidak diingini daripada pihak lain, lapor agensi berita China Xinhua.

Ketua keselamatan global Facebook, Antigone Davis berkata dalam catatan di laman web rasmi syarikat itu, ciri baharu itu dapat mengesan serta mencegah kenalan tidak diingini seperti permintaan rakan dan mesej pengguna telah disekat, yang mungkin membuat percubaan ke-2 menerusi akaun baharu.

Beliau berkata, ciri baharu itu berguna kepada kaum wanita dan wartawan yang sering mengalami gangguan.

“Selain itu, pengguna Facebook boleh mengabaikan perbualan Messenger yang secara automatik akan dialih keluar dari peti masuk (inbox) tanpa perlu menyekat pengirim.

“Ciri automatik itu membantu kami mengenal pasti akaun palsu lebih cepat dan menyekat jutaan pendaftaran palsu setiap hari,” kata Davis.

Di samping itu, ciri berkenaan menghalang pemberitahuan dan mengalihkan perbualan tidak dimahukan dalam peti masuk ke fail “Filtered Messages” atau pengguna boleh membaca mesej tanpa pengetahuan pengirim.

Tiada ulasan: