Khamis, 10 Ogos 2017

Jangan buang masa runding dengan SPLASH lagi - AWER

Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
Post Pic
 
SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor digesa untuk tidak membuang masa meneruskan rundingan pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH), kata Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran.
 
Jelas Piara, kerajaan negeri dan Pusat tidak sepatutnya bermain politik kerana masing-masing faham dan mengetahui tentang Seksyen 114 di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2008 (WSIA) boleh digunakan dalam pengambilalihan itu.
 
"Kalau kerajaan negeri tak boleh berunding, mereka boleh minta Pusat aktifkan Seksyen 114, SPLASH tak boleh banyak bising pun (kerana) kerajaan negeri yang beri perjanjian konsensi. 
 
"Kalau mana-mana kerajaan negeri atau Pusat tak bagi perjanjian itu, syarikat tu tak ada apa pun. Jadi saya rasa kita tak perlu lagi berunding dengan syarikat seperti ini, kita aktifkan saja akta yang ada. Kalau mereka nak buat hal, suruh mereka pergi ke mahkamah," katanya kepada Antarapos.
 
Terdahulu Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menegur kerajaan negeri Selangor berhenti mempolitikkan urusan pengambilalihan SPLASH.
 
Ongkili berkata tindakan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hanya menyebabkan masalah air di Selangor tidak dapat diselesaikan.
 
Jelas Piara lagi, kerajaan negeri boleh untuk tidak memberi sebarang pampasan kepada SPLASH sekiranya menggunakan akta berkenaan.
 
Namun kerajaan negeri perlu menanggung liabiliti Splash dengan menggunakan Aset Air Berhad yang dimiliki Kementerian Kewangan untuk membayar hutang tersebut. 
 
"Dalam konteks ni penyelesaian senang saja, kalau syarikat ni (SPLASH) minta pampasan melampau kerajaan negeri tak perlu layan. Kita boleh aktifkan Seksyen 114, paling teruk kita kena tanggung liabiliti (SPLASH). 
 
"Dalam penstrukturan semula kalau ada liabiliti, kita boleh uruskan guna Aset Air Berhad. Apa-apa pengambilalihan pun memang akan ada liabiliti untuk mana-mana kerajaan negeri pun.   
 
Malah katanya, jika perkara ini dapat diselesaikan bukan sahaja memanfaatkan kerajaan negeri tetapi ia juga mampu menyelamatkan rakyat daripada berdepan dengan isu masalah air. 
 
"Kita nak selesaikan isu air ni supaya kita dapat menguruskan industri air sebagai satu entiti dibawah pengurusan kerajaan negeri.    
 
"Implikasinya bukan kecil, dah menjelang hampir 2019 El Nino akan datang kembali. Masa tu janganlah menuding jari," katanya kecewa.   
 
Sebelum ini kerajaan negeri menerusi surat bertarikh 17 Mac 2017 menolak cadangan kerajaan pusat untuk mengguna pakai kaedah nisbah 60:40 bagi pengambilalihan ekuiti SPLASH. 
 
SPLASH adalah satu-satunya syarikat konsesi yang masih belum menerima tawaran pengambilalihan daripada kerajaan negeri.
 
 

Tiada ulasan: