Isnin, 3 Julai 2017

Jangan pukul sama rata isu polisi longgar syarat BM

Nizam Zain

 

Pengerusi Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara, Wan Md Hazlin Agyl bercakap pada sidang media mengenai kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu (BM) di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan secara kontrak pegawai perubatan UD41 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 
 
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara tidak mahu polisi berkaitan syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu (BM) jangan diambil mudah dan diperkenalkan hanya kerana segelintir graduan luar negara yang tidak fasih berbahasa Melayu.

Pengerusinya, Wan Md. Hazlin Wan Hassan mahu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menilai semula polisi memberi kelonggaran syarat kelayakan lulus BM peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi graduan perubatan di luar negara.

“Kita tidak mahu kerajaan mengambil tindakan pukul sama rata. Ini bukan alasan untuk KKM memperkenalkan polisi mengecualikan graduan-graduan kita tidak fasih berbahasa Melayu.

“KKM patut duduk dengan KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi, JPA dan MARA untuk membantu graduan-graduan ini berbahasa Melayu,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kelonggaran itu bagi memudahkan pelantikan secara kontrak jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 bagi graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan BM di peringkat SPM atas pelbagai sebab.

Beliau juga mempersoalkan kemampuan doktor untuk beri rawatan berkesan kepada pesakit yang tidak menguasai bahasa lain selain BM.

Mengulas lanjut, Wan Md Hazlin berkata, tindakan KKM bukan sahaja melemahkan kedudukan BM di negara ini malah akan menimbulkan rasa kurang yakin dalam kalangan golongan muda.

Katanya lagi, KKM sewajarnya membantu graduan Malaysia yang tidak fasih berbahasa Melayu menjalani program khas untuk memperbaiki penguasaan bahasa kebangsaan.

“Sekurang-kurangnya mereka dapat menguasai BM peringkat asas supaya mereka boleh berkomunikasi dengan pesakit-pesakit di hospital-hospital kerajaan.

“Kami sendiri belajar di luar negara, di United Kingdom, Indonesia, Mesir, Rusia, Amerika Syarikat tapi kami pulang masih boleh berbahasa Melayu,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.

Tiada ulasan: