Isnin, 13 Jun 2016

Pulangkan duit kami – pelanggan Rayani Air

 
Ada pelanggan berpendapat, Rayani Air bukan saja mengecewakan pelanggan-pelanggan dengan perkhidmatannya, tetapi juga membawa nama tidak baik kepada Islam.


rayani-air


PETALING JAYA: Sejumlah netizen yang tidak berpuas hati dan marah bertindak menuntut Rayani Air memulangkan wang, susulan pembatalan lesen perkhidmatan udara (ASL) syarikat penerbangan itu.

Seorang pengguna Facebook, Hafiefz Izzuddin mengulas satu kenyataan media yang dimuat naik ke Facebook Rayani Air: “Tolonglah Rayani Air, kebanyakan kami telah cuba menghubungi (syarikat penerbangan itu) dan ramai daripada kami gagal. Setelus mana anda mahu bayar balik duit kami?”

Seorang lagi netizen, Radziah Taris bertanya: “Macam mana dengan duit saya? Sudah lebih 30 hari gagal dihubungi menerusi telefon.”

“Tolong bayar balik (duit saya),” komen tiga individu berasingan, Mei Ying, Myra Mohd dan Wesley Kho.

“Lain kali tolong kembali dengan penambahbaikan daripada semua sudut! Anda bukan saja mengecewakan pelanggan-pelanggan dengan perkhidmatan anda, tetapi juga membawa nama tidak baik kepada Islam,” tulis Khurshed Kayumov.

Nurul Hakeem pula berpendapat: “Anda bukan satu kegagalan sehingga anda mula menyalahkan pihak lain untuk kesilapan anda. Haha tak pernah gagal salahkan orang lain. Hebat. Tahniah kepada anda. Terima kasih kerana memusnahkan semua usaha gigih.”

Demikian reaksi pelanggan dan netizen selepas Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengumumkan pembatalan ASL Rayani Air kerana melanggar syarat ditetapkan lesen tersebut di samping kedudukan kewangan dan komersial yang lemah untuk terus beroperasi.

MAVCOM berkata, jika Rayani Air gagal memulangkan wang kepada pengguna yang telah membeli tiket, mereka boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat penerbangan tersebut berdasarkan undang-undang sedia ada.

Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air, Ravi Alagendrran pula berkata, rayuan akan dikemukakan kepada MAVCOM dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) supaya ia diberikan peluang kedua untuk mencari pelabur baru bagi memulih dan menguruskan syarikat penerbangan patuh syariah pertama di negara ini.

“Pembatalan ini berlaku di puncak rundingan kami dengan pelabur untuk pengambilalihan ekuiti dalam Rayani Air di mana pemilik masa kini sedar bahawa pengurusan mereka tidak lagi layak untuk memulihkan syarikat penerbangan itu.

“Pasukan pengurusan yang berkelayakan dan kukuh daripada pelabur baru akan memulih dan menguruskan syarikat penerbangan itu lebih baik daripada kami.

“Kebangkitan semula Rayani Air penting dalam menyelesaikan kesan kewangan syarikat yang menjadi isu sosioekonomi negara seperti gaji pekerja, bayaran balik tiket dan liabiliti lain untuk manfaat pekerja,
perjalanan orang ramai, pemegang saham dan industri penerbangan awam Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tiada ulasan: