shahbudindotcom
Kehadiran
bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad berkempen secara terbuka
pada hari Sabtu di Sungai Besar dan Ahad di Kuala Kangsar ternyata
memberi impak yang baik kepada harapan kemenangan calon Amanah pada
pilihanraya kecil 18 Jun ini.
Berdasarkan
pengamatan rakan-rakan yang berada di kedua-dua kawasan tersebut,
mereka melihat kehadiran Tun Mahathir telah memberi kesan lebih baik
kepada calon Amanah dan seterusnya menggugat harapan BN untuk
mengekalkan kemenangannya.
Kata
mereka, pengundi bukan Melayu yang majoritinya memang tidak bersama BN
dan kerajaan selama ini akan lebih melimpah sokongan mereka kepada
Amanah selepas kehadiran Tun Mahathir bersama kelompok kaum itu.
Ini
kerana pengundi bukan Melayu sememangnya lebih mengkagumi dan cenderung
mempercayai kata-kata bekas Perdana Menteri selama 22 itu berikutan
dasar ekonomi yang pro kepada kaum tersebut sepanjang pemerintahannya.
Dengan kata yang mudah, bukan Melayu lebih percaya dan yakin serta terhutang budi kepada Tun Mahathir berbanding Najib.
Pengundi
Melayu turut dikatakan mula berbelah bagi dengan kehadiran dan sokongan
terbuka Tun Mahathir kepada calon Amanah berikutan logik yang diberikan
olehnya amat mudah difahami iaitu kekalahan calon BN tidak sama sekali
menyebabkan kerajaan bertukar, sebaliknya hanya bertujuan menghantar
mesej penolakan rakyat terhadap Najib semata-mata.
Mereka
juga percaya, pertambahan dua Ahli Parlimen kepada Pakatan Harapan
melalui kemenangan dalam pilihanraya kecil ini tidak memberi banyak
kelebihan kepada gabungan itu, tetapi ia mungkin mampu memberi sinar
harapan yang lebih baik kepada masa depan rakyat dan negara.
Kata
rakan yang dihubungi itu lagi, memang ramai pengundi yang ingin
bersama-sama untuk menghantar mesej penolakan itu kerana kebanyakannya
turut lemas dengan pelbagai isu berkaitan Najib yang terdedah satu demi
satu sejak kebelakangan ini.
Secara
umumnya, ramai pengundi bersungut bahawa sampai bila rakyat harus
dihidangkan dengan cerita-cerita buruk mengenai Najib yang dari segi
jangka panjangnya memang menjejaskan nama baik negara dan tidak memberi
tekanan kepada rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik.
Oleh
itu, kemungkinannya ialah lebih ramai rakyat yang akan mengundi Amanah
apabila melihatkan kesungguhan dan sokongan terbuka yang telah
ditunjukkan oleh Tun Mahathir sepanjang sehari suntuk berkempen di
Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Dalam
keadaan ini, selain jentera Pakatan Harapan perlu meneruskan kempen
seperti biasa sehingga hari pengundian pada 18 Jun, diyakini juga bahawa
kelebihan akan terus memihak kepada calon Amanah sekiranya Tun Mahathir
dapat didatangkan sekali lagi ke kedua-dua kawasan tersebut.
Tarikh
yang paling baik untuk Tun Mahathir datang kembali ialah sehari sebelum
pembuangan undi sama ada berucap dalam ceramah yang diadakan secara
besar-besaran atau beramah mesra dengan pengundi di kawasan-kawasan yang
dikenalpasti sebagai kubu kuat UMNO.
Kehadiran
kali kedua beliau ke Sungai Besar dan Kuala Kangsar pasti menjadikan
hasrat untuk menghantar mesej penolakan rakyat terhadap Najib lebih
mudah lagi menjadi kenyataan.
Pemimpin
dan menteri-menteri UMNO juga jelas gusar dan panik dengan kehadiran
kali pertama Tun Mahathir dengan pelbagai serangan cuba ditujukan
kepadanya, tetapi dengan hadir sekali lagi barangkali juga akan
membuatkan mereka terus "mengigau" dan "meracau-racau" macam cacing
kepanasan tetapi tidak satu pun menjawab persoalan-persoalan yang
dibangkitkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan